Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Apa Hukum Menunda Waktu Berbuka Sehingga Hampir Waktu Isyak? Ini Penjelasan Mufti WP
Berpuasa merupakan Rukun Islam keempat yang merupakan kewajipan asas bagi setiap umat Islam yang telah memenuhi syarat untuk melaksanakannya.
Berpuasa juga memerlukan setiap individu untuk menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkannya dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Sudah menjadi kebiasaan bagi sesiapa yang berpuasa untuk menanti azan Maghrib berkumandang kerana itu menandakan sudah masuk waktu untuk berbuka puasa.
Namun, ada pula sesetengah individu yang sengaja melambatkan berbuka atas alasan-alasan lain dan ada juga yang sengaja menunda untuk berbuka puasa sehingga hampir masuk kepada waktu Isyak.
Bagi menjawab kepada persoalan ini, Mufti Wilayah Persekutuan tampil memberikan penjelasan.
Mengapakah seseorang boleh tersalah faham tentang waktu berbuka puasa? Pernah suatu ketika, rakan saya mengajak saya menunda waktu berbuka puasa sehingga hampir masuk waktu Isyak.
Menurutnya, berbuka puasa perlu dilewatkan sehingga hampir waktu Isyak iaitu selepas cahaya merah di ufuk timur hilang sepenuhnya.
Waktu berbuka puasa ditentukan selepas terbenamnya matahari yang menandakan permulaan malam. Para ulama menegaskan bahawa dalam situasi tertentu, tanda-tanda alam seperti kegelapan boleh dijadikan panduan.
Ini menekankan kepatuhan kepada petunjuk syariat dan mengelakkan kekeliruan akibat faktor persekitaran.
Kekeliruan tentang waktu berbuka seperti menundanya hingga hampir waktu Isyak dipengaruhi oleh amalan golongan Yahudi, Nasrani atau pengamal bidaah seperti Syiah yang bertentangan dengan syariat Islam.
Lantaran itu, umat Islam perlu menjauhi ajaran dan amalan Syiah.
Pendahuluan
Penentuan waktu berpuasa dan berbuka puasa ditentukan oleh definisi jelas malam dan siang. Berbuka puasa dilakukan selepas terbenamnya matahari yang menandakan permulaan malam. Ketepatan waktu ini mencerminkan kepatuhan umat Islam terhadap syariat dan kesungguhan dalam beribadah. Dengan memahami tanda alam, umat Islam dapat melaksanakan ibadah puasa dengan penuh ketelitian dan keikhlasan. Firman Allah SWT:
وَكُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلۡخَيۡطُ ٱلۡأَبۡيَضُ مِنَ ٱلۡخَيۡطِ ٱلۡأَسۡوَدِ مِنَ ٱلۡفَجۡرِۖ ثُمَّ أَتِمُّواْ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيۡلِۚ
Maksudnya: Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).
Surah al-Baqarah (187)
Menurut Fakhr al-Din al-Razi, para ulama berbeza pendapat tentang permulaan waktu malam.
Sebahagian berpendapat malam bermula apabila kesan cahaya matahari hilang di penghujung siang, sama seperti siang bermula apabila kesan malam hilang.
Ada yang menganggap hilangnya warna merah senja sudah memadai, manakala yang lain menunggu hingga gelap sepenuhnya dan munculnya bintang-bintang.
Namun, hadis yang diriwayatkan oleh Umar RA membatalkan pendapat ini dan pandangan ini diikuti oleh para fuqaha sebagai amalan.
Penentuan waktu berbuka puasa
Hadis yang diriwayatkan oleh Umar RA tersebut menghubungkan kedatangan malam dari timur dengan terbenam matahari iaitu fenomena yang dapat dilihat. Kegelapan bermula di timur sebaik sahaja cahaya matahari menghilang di ufuk. Ini menunjukkan hubungan jelas peralihan siang ke malam di mana hilangnya cahaya matahari menandakan permulaan malam. Sabda Nabi SAW:
إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ
Maksudnya: “Apabila malam telah tiba dari arah ini dan siang telah berlalu dari arah ini serta matahari telah terbenam, maka orang yang berpuasa boleh berbuka.”
Riwayat al-Bukhari
Ibn Hajar menjelaskan bahawa sabda Nabi SAW bahawa ‘apabila malam datang dari sini’ merujuk kepada arah timur yang menandakan kewujudan kegelapan yang dapat dirasakan secara fizikal.
Hadis ini mengemukakan tiga perkara yang saling berkait, namun tidak semestinya berlaku serentak secara zahir.
Kemunculan kegelapan dari arah timur mungkin disangka sebagai permulaan malam, tetapi hakikatnya, ia boleh disebabkan oleh faktor lain yang menghalang cahaya matahari.
Oleh yang demikian, hadis ini menekankan syarat terbenamnya matahari sebagai penanda hakiki permulaan malam dan berakhirnya siang, bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul akibat faktor-faktor luaran yang mempengaruhi persepsi visual.
Al-Nawawi turut menjelaskan bahawa para ulama berpendapat setiap satu daripada tiga faktor yang disebutkan dalam sabda Nabi SAW ‘malam telah datang, siang telah berlalu dan matahari telah terbenam’ saling berkait antara satu sama lain.
Ketiga-tiga perkara ini mengambil kira situasi seperti seseorang berada di lembah yang mungkin tidak dapat melihat terbenamnya matahari secara langsung.
Oleh itu, mereka boleh bergantung kepada tanda-tanda alam seperti kedatangan kegelapan dan berlalunya cahaya siang sebagai petunjuk untuk menentukan permulaan malam dan berakhirnya siang.
Salah faham berbuka puasa amalan Yahudi, Nasrani dan Syiah
Adapun perbuatan menunda berbuka puasa sehingga hampir masuk waktu Isyak iaitu selepas cahaya merah di ufuk timur hilang sepenuhnya, hal ini menurut al-Tibi terdapat penyimpangan daripada amalan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani).
Mereka melambatkan waktu berbuka sehingga bintang-bintang jelas kelihatan.
Kemudian, amalan ini menjadi suatu ciri bagi golongan ahli bidaah dalam agama kita. Inilah perbuatan yang tidak disukai oleh Rasulullah SAW.
Selain itu, Ibn Hajar menukilkan pendapat Ibn Daqiq yang menolak amalan Syiah yang menunda waktu berbuka puasa hingga munculnya bintang-bintang.
Mungkin inilah antara sebabnya mengapa terdapat kebaikan dalam menyegerakan berbuka puasa kerana mereka yang melambatkannya terlibat dalam perbuatan yang bertentangan dengan sunnah.
Begitu juga menurut al-Bujairimi, menunda waktu berbuka puasa sehingga muncul bintang-bintang yang menandakan malam telah gelap adalah amalan yang menyerupai golongan Yahudi, Nasrani dan pengamal bidaah termasuk Syiah.
Justeru, sunat untuk menyegerakan berbuka puasa setelah dipastikan bahawa matahari telah terbenam.
Tambahan pula, berdasarkan kitab Wasail al-Syiah karya Muhammad bin al-Hasan al-Hur al-Amili yang menyatakan bahawa waktu berbuka puasa adalah sehingga hilangnya awan merah di ufuk timur dan tidak boleh berbuka puasa sebelum waktu tersebut. Beliau membawakan beberapa riwayat yang dianggap dusta atas nama keluarga Nabi Muhammad SAW (Ahli al-Bait) seperti:
وبإسناده عن أحمد بن محمّد ، عن الحسين بن سعيد ، عن فضالة ، عن أبان ، عن زرارة قال : سألت أبا جعفر ( عليه السلام ) عن وقت إفطار الصائم ؟ قال : حين يبدو ثلاثة أنجم ... الحديث
Maksudnya: Daripada riwayat Zurarah, saya pernah bertanya kepada Abu Jaa'far AS tentang waktu berbuka bagi orang yang puasa? Beliau menjawab: 'Ketika telah terbit 3 bintang.
Al-Hur al-Amili menjelaskan bahawa bagi mereka yang tidak mengetahui arah timur dan tidak dapat melihat hilangnya awan merah kecuali setelah terbit bintang, disarankan untuk mendahulukan solat Maghrib berbanding berbuka puasa.
Hal ini berterusan sehingga terbitnya tiga bintang sebagaimana penjelasan para ulama mutakhir Syiah.
i. Menyegerakan berbuka puasa selepas terbenamnya matahari adalah amalan yang selaras dengan sunnah.
ii. Salah faham tentang waktu berbuka puasa kerana terdapat pengaruh budaya atau amalan lain seperti amalan golongan Yahudi, Nasrani dan pengamal bidaah termasuk Syiah yang tidak sesuai dengan syariat Islam.
iii. Mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran dan amalan Syiah dan dilarang daripada berpegang, mempercayai atau mengamalkannya. Mana-mana orang yang berpegang, mempercayai atau mengamalkan ajaran dan amalan Syiah hendaklah bertaubat
Wallahu a'lam