Presiden Indonesia, Prabowo Subianto meluluskan penghantaran 200 pam air serta peruntukan Rp2 bilion (kira-kira RM455,370) bagi pembinaan 200 titik telaga bagi membantu menangani kebakaran yang berpotensi menyumbang kepada masalah jerebu di negara itu, lapor Kompas.
Prabowo lulus 200 pam air, Rp2 Bilion atasi kebakaran
Keputusan itu dibuat selepas beliau bertanya kepada Panglima Komando Daerah Militer (Pangdam) XXII/Tambun Bungai, Mejar Jeneral Zainul Arifin, mengenai keperluan tambahan untuk memadamkan kebakaran di kawasan tanah gambut.
Dalam perbualan itu di Youtube Sekretariat Presiden, Zainul memaklumkan pihaknya memerlukan 50 pam air kerana bekalan peralatan di Kalimantan masih terhad dan sebahagiannya mungkin perlu dihantar dari Jawa.
Selepas mendengar permintaan itu, Prabowo memutuskan untuk menghantar 200 pam air.
“Saya kirim 200,” katanya.
Beliau kemudian bertanya kepada Zainul mengenai keperluan lain bagi membantu operasi memadamkan kebakaran.
“Apa lagi yang kamu perlukan?” soal Prabowo.
Zainul menjelaskan bahawa pasukannya turut memerlukan kemudahan telaga bagi mendapatkan sumber air untuk memadamkan api di pelbagai lokasi.
Menurut beliau, kerja penggerudian telaga di kawasan tanah gambut berkenaan tidak terlalu sukar kerana sumber air boleh dicapai pada kedalaman sekitar 10 hingga 15 meter.
Beliau berkata kos penggerudian di kawasan itu dianggarkan sekitar Rp10 juta bagi setiap titik.
Susulan penjelasan itu, Prabowo bersetuju menyediakan peruntukan Rp2 bilion untuk membina 200 titik telaga berdasarkan anggaran kos berkenaan.
Beliau turut mencadangkan supaya penduduk setempat dilibatkan dalam kerja pembinaan telaga, manakala pam air disediakan oleh kerajaan.
Dalam kenyataan berasingan mengenai masalah asap kebakaran hutan, Prabowo berkata hujan merupakan antara faktor penting dalam menangani masalah berkenaan.
“Namun, saya kira memang benar, hujungnya ya hanya hujan air,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa langkah pencegahan dan mitigasi kebakaran perlu diberi keutamaan, khususnya di peringkat desa.
Menurutnya, strategi itu mengambil kira pandangan pakar dan profesor dari pelbagai universiti yang sebelum ini dikumpulkan bagi membincangkan langkah menangani masalah berkenaan.
“Langkah yang paling utama adalah pencegahan yang tepat dan mitigasi di peringkat paling bawah, di peringkat desa,” katanya.

