Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Apa Perlu Buat Jika Sesat Di Tanah Suci? Ketua Rombongan Haji Malaysia Kongsi Langkah Penting
Apabila kita mendengar pengalaman seseorang yang menunaikan ibadah haji atau umrah di Tanah Suci, sering kali dikongsikan kisah jemaah yang diuji Allah SWT dengan ujian kecil seperti tersesat jalan.
Hakikatnya, situasi ini bukanlah sesuatu yang asing atau luar biasa.
Ia merupakan perkara yang lazim berlaku dalam kalangan jemaah, khususnya bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan masih dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
Jadi, apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh para jemaah sekiranya mereka menghadapi situasi tersesat ketika berada di Tanah Suci?
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun memaklumkan terdapat kes jemaah yang masuk melalui pintu lain, kemudian keluar melalui pintu yang berbeza, lazimnya melalui Pintu Marwah.
Bagi anda yang tidak biasa atau terpisah tanpa sengaja daripada rakan-rakan kerana pergerakan mereka lebih laju ketika melakukan ibadah, anda boleh merujuk maklumat pada lanyard yang diberikan oleh TH.
Pada lanyard tersebut terdapat nombor telefon Pusat Bantuan Tanah Suci (01 2570 4433).

Selepas membuat panggilan, segera maklumkan kepada mereka bahawa anda telah tersasar.
“Sekiranya anda tersasar, jangan merayau di sekitar masjid. Sebaliknya, pergi ke satu tempat yang mudah dikenal pasti, seperti pintu masuk
"Contohnya, jika pintu tersebut bernombor atau seperti Pintu Raja Fahd atau Pintu Raja Abdul Aziz, tunggulah di situ dan jangan bergerak ke mana-mana
“Insya-Allah, kami akan menghantar petugas untuk mengambil anda di lokasi tersebut,” katanya.
Seterusnya, jemaah haji mempunyai kumpulan WhatsApp tersendiri yang mengikut kumpulan penerbangan (KT) masing-masing.
Jika anda mempunyai telefon pintar, aplikasi WhatsApp dan capaian data internet, anda boleh memaklumkan situasi anda dalam kumpulan berkenaan.

Selain itu, TH juga mempunyai petugas dan peronda di Masjidil Haram yang bertugas untuk membantu mengesan jemaah haji Malaysia yang tersesat atau terpisah daripada kumpulan.
“Petugas memakai vest TH berwarna hijau serta kemeja-T berwarna hitam. Mereka juga mengenakan topi berwarna hitam yang mempunyai logo TH,” ujar beliau lagi.
Sekiranya anda melihat jemaah haji Malaysia yang lain, anda boleh meminta bantuan daripada mereka.
"Apa yang penting, saya ingin sarankan agar anda sentiasa membawa lanyard dan kad Nusuk bagi memastikan anda dikenali sebagai jemaah haji Malaysia yang sah
“Jika anda tidak membawanya, ada kemungkinan anda boleh ditahan oleh pihak polis dan sebagainya," tambah Hisham.

Dalam pada itu, gelang tangan yang diberikan kepada jemaah juga mengandungi nombor telefon yang boleh dihubungi sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau jika jemaah tersasar daripada kumpulan.