Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

‘Api Biru’ Muncul Di Kawah Manuk, Pelancong Dilarang Beraktiviti Dalam Radius 500 Meter

KAWAH
Kredit: ANTARA

Fenomena jarang berlaku ‘api biru’ yang muncul di Kawah Manuk, Gunung Papandayan di Jawa Barat, mendorong pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran mengenai risiko pelepasan gas gunung berapi berbahaya di kawasan berkenaan.

Ketua Badan Geologi, Lana Saria berkata, pasukan tindak balas kecemasan daripada Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) mendapati fenomena api biru itu berpunca daripada pelepasan haba bawah tanah yang berlaku secara tiba-tiba dan intensif.

Menurutnya, api biru mula dikesan pada awal 24 September lalu sebelum membakar bahan di permukaan dan meninggalkan abu.

Walaupun api berkenaan dilaporkan telah padam pada 26 September, kawasan kawah masih mengeluarkan gas gunung berapi pada tahap yang berbahaya.

Bau Sulfur Masih Dikesan

“Walaupun aktiviti haba berkurangan, pelepasan gas toksik yang ketara masih berlaku di sekitar kawasan berkenaan.

“Bau sulfur yang kuat masih boleh dihidu mengikut arah tiupan angin dan boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada individu yang terdedah secara langsung,” katanya dalam laporan penilaian agensi berkenaan pada Ahad.

Fenomena ‘api biru’ itu merupakan kejadian jarang berlaku di Gunung Papandayan dan hanya direkodkan dua kali sebelum ini, masing-masing pada 22 Februari 2023 dan 12 Julai 2025.

Fenomena sama turut terkenal di Gunung Ijen, Jawa Timur.

Bagaimanapun, kejadian terbaharu di Kawah Manuk itu berlaku berhampiran laluan pendakian utama dan kawasan perkhemahan pelancong, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengeluarkan peringatan keselamatan.

Pelancong Dilarang Dekati Kawah Dalam Radius 500 Meter

Walaupun status keseluruhan Gunung Papandayan kekal pada Tahap I (Normal), Badan Geologi menetapkan beberapa garis panduan keselamatan untuk pengunjung dan pengurusan kawasan taman.

Pengunjung dilarang bermalam atau menjalankan sebarang aktiviti dalam lingkungan 500 meter dari kawah aktif, khususnya ketika cuaca mendung atau hujan.

Mereka turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kepekatan gas toksik yang boleh meningkat secara tiba-tiba bergantung kepada arah tiupan angin.

Selain itu, pelancong perlu berhati-hati terhadap kemungkinan letusan secara tiba-tiba kerana letusan freatik boleh berlaku tanpa sebarang amaran.

Risiko tanah runtuh di dinding kawah yang mengelilingi kompleks kawah aktif turut perlu diberi perhatian.

Badan Geologi turut meminta pengurusan Taman Wisata Alam Gunung Papandayan menguatkuasakan zon keselamatan 500 meter itu bagi melindungi pendaki serta mengelakkan orang ramai memasuki kawasan yang berisiko terdedah kepada gas toksik.

Orang ramai dan pelancong juga dinasihatkan mengikuti perkembangan aktiviti gunung berapi menerusi saluran rasmi PVMBG serta portal magma.esdm.go.id.

Intipati
  • Api biru dikesan di Kawah Manuk akibat pelepasan haba bawah tanah secara tiba-tiba.
  • Walaupun api padam pada 26 September, gas toksik masih berbahaya di kawasan kawah.
  • Pengunjung dilarang beraktiviti dalam radius 500 meter dan dinasihat mengikuti maklumat rasmi PVMBG.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan