Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Api Terus Merebak, Kawasan Tanah Gambut Di Sumatera Makin Terbakar

Api Terus Merebak
Kredit:AFP

Kebakaran hutan dan tanah di beberapa kawasan di Sumatera dilaporkan semakin meluas susulan keadaan tanah gambut yang kering akibat musim kemarau, lapor Kompas.

Antara kawasan yang paling teruk terjejas ialah Riau, Jambi dan Sumatera Selatan, dengan pasukan pemadam kini berdepan kesukaran mengawal api yang terus merebak.

Api Terus Merebak

Menurut Kompas, kebakaran paling luas ketika ini berlaku di Ogan Komering Ilir, Sumatera Selatan melibatkan kawasan seluas 326 hektar.

Di Pelalawan, Riau pula, kebakaran telah merebak meliputi kawasan seluas lebih 100 hektar, manakala lebih 50 hektar tanah dilaporkan terbakar di Sungai Gelam, Jambi.

Ketua Balai Pengendalian Kebakaran Hutan Wilayah Sumatera, Ferdian Krisnanto berkata, pasukan Manggala Agni telah dikerahkan sepenuhnya ke beberapa lokasi paling kritikal bagi memadamkan api dan menyejukkan bara.

“Di lokasi-lokasi paling teruk ini, pasukan Manggala Agni telah dikerahkan sepenuhnya untuk memadamkan api dan menyejukkan bara. Pasukan masih terus berada di lokasi kebakaran,” katanya pada Selasa.

Dalam pada itu, titik panas baharu terus dikesan di beberapa kawasan selepas hujan tidak turun sejak dua minggu lalu.

Antara lokasi yang terjejas ialah sekitar Palembang serta beberapa kawasan di sepanjang jalan utama yang menghubungkan Palembang dengan Jambi.

Di Jambi, titik panas baharu turut dikesan di Tanjung Jabung Barat dan Tanjung Jabung Timur yang mempunyai kawasan tanah gambut dalam.

Kedua-dua kawasan berkenaan pernah mengalami kebakaran tanah gambut yang serius pada 2015 sehingga menyebabkan jerebu tebal menyelubungi Jambi selama kira-kira tiga bulan.

Sementara itu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) turut meramalkan risiko tinggi kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Keadaan itu memerlukan usaha pemantauan, pencegahan dan kesiapsiagaan dipertingkatkan.

Kredit: BMKG

Sehingga 9 Ogos, keluasan kawasan yang terbakar di enam wilayah utama di Sumatera dan Kalimantan dilaporkan mencecah 48,889 hektar.

Kalimantan Barat merekodkan kawasan terbakar paling luas iaitu kira-kira 28,680.47 hektar, diikuti Riau sebanyak 15,551.76 hektar dan Kalimantan Tengah, 3,069.52 hektar.

Sumatera Selatan pula merekodkan 664.87 hektar, diikuti Jambi kira-kira 540 hektar dan Kalimantan Selatan, 383.07 hektar.

Keadaan Dijangka Bertambah Buruk

Kredit: Kompas

Menurut Ferdian, peningkatan suhu, cuaca kering dan tiupan angin kencang antara faktor yang boleh menyebabkan api merebak dengan lebih pantas.

Keadaan itu juga boleh menjadi lebih serius sekiranya masih berlaku aktiviti pembukaan tanah menggunakan kaedah pembakaran.

“Situasi ini dijangka terus meningkat sehingga kemuncak musim kemarau pada September hingga Oktober, seiring dengan pengukuhan fenomena El Nino,” katanya.

Beliau berkata, semua pasukan pemadam di Riau telah dikerahkan ke Pelalawan melibatkan seramai 275 anggota.

Bagaimanapun, pasukan berkenaan masih berdepan kesukaran mengawal kebakaran.

Sebahagian besar kawasan terbabit dipenuhi daun dan ranting kering, lalang serta tumbuhan paku-pakis yang mudah terbakar dan mempercepatkan penyebaran api.

Keadaan tanah gambut menjadi antara cabaran utama dalam operasi pemadaman kerana api boleh merebak di bawah permukaan tanah, sekali gus menyebabkan ia sukar dikesan dan dipadamkan.

Operasi turut berdepan masalah akses ke lokasi kebakaran, kekurangan sumber air serta tiupan angin kencang yang meningkatkan risiko api merebak.

Walaupun tiga helikopter telah dikerahkan bagi membantu operasi pemadaman dari udara, keadaan paya gambut yang kering menyebabkan kebakaran masih sukar dikawal.

Situasi itu semakin membimbangkan kerana sekiranya kebakaran bertambah buruk, ia boleh menjejaskan jarak penglihatan dan berpotensi mengganggu jadual penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Thaha, Jambi.

Sebelum ini, kebakaran hutan dan tanah di Sumatera serta Kalimantan dilaporkan mula menyebabkan jerebu dan menjejaskan kualiti udara.

Malah, asap daripada kebakaran berkenaan turut dikesan merentasi sempadan negara.

Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) pada Selasa memaklumkan bahawa berdasarkan pemantauan imej satelit, asap dikesan bergerak memasuki kawasan Malaysia yang bersempadan dengan Kalimantan Barat pada 4 Ogos.

Jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah itu sekali lagi dikesan bergerak ke arah Malaysia antara 6 hingga 9 Ogos.

Intipati
  • Kebakaran tanah gambut di Sumatera semakin meluas susulan kemarau dan keadaan kering.
  • Ogan Komering Ilir mencatat kebakaran paling luas, melibatkan kawasan seluas 326 hektar.
  • Asap kebakaran dikesan bergerak ke Malaysia, ketika risiko jerebu dan gangguan penerbangan meningkat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan