Perancis dan Arab Saudi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) membabitkan pelaburan Arab Saudi bernilai €6 bilion (AS$7 bilion) bagi membangunkan tiga taman tema berhampiran Paris, termasuk sebuah taman yang dijangka berkonsepkan manga.
Pejabat Presiden Perancis, Élysée, memaklumkan projek berskala besar itu dimeterai ketika lawatan dua hari Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, ke Perancis.
Bina tiga taman tema berhampiran Paris
Menurut kenyataan itu, tiga taman tema berkenaan akan dibangunkan berhampiran Cergy-Pontoise, kira-kira 30 kilometer di barat laut Paris, oleh firma pelaburan Qiddiya, anak syarikat dana kekayaan berdaulat Arab Saudi.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menyifatkan pengumuman itu sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini dan percaya tarikan berkenaan akan menjadi “destinasi global baharu”.
Projek itu dijangka mewujudkan kira-kira 22,000 pekerjaan secara langsung, berbanding sekitar 20,000 pekerjaan yang dijana Disneyland Paris.
Pejabat Macron berkata projek berkenaan tercetus hasil perbincangan antara Presiden Perancis itu dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman ketika pertemuan mereka di Riyadh pada Disember 2024.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-duanya dikatakan berkongsi minat terhadap manga, khususnya siri popular Jepun, Dragon Ball Z.
Laporan sebelum ini menyebut mengenai rancangan membangunkan taman tema khusus Dragon Ball di wilayah Val-d'Oise, namun tiada pengesahan rasmi mengenainya pada ketika itu.
Pejabat Macron kini mengesahkan bahawa salah satu daripada tiga taman tema berkenaan dijangka berkonsepkan manga, manakala tema bagi dua taman yang lain masih belum didedahkan.
Kesemua taman tema itu akan dibangunkan dan dibuka secara berperingkat, dengan kerja pembinaan dijangka mengambil masa beberapa tahun. Tarikh pembukaan rasmi bagaimanapun belum ditetapkan.
Ditanya mengenai keputusan menyerahkan projek berkenaan kepada Riyadh walaupun Arab Saudi berdepan kritikan berkaitan rekod hak asasi manusia, pejabat presiden berkata Perancis tidak bertujuan “mengajar” negara lain ketika menarik pelaburan dan projek ke negara itu.
Dalam perkembangan berkaitan, tiga kesatuan wartawan Perancis pada Ahad membantah lawatan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang lebih dikenali sebagai MBS, ke negara itu.
Dalam kenyataan bersama, SNJ-CGT, CFDT-Journalistes dan SGJ-FO berkata masih terdapat siasatan di Perancis berkaitan dakwaan penyeksaan dan kehilangan paksa susulan aduan yang difailkan pada 2021 berhubung pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.
Khashoggi, wartawan Arab Saudi yang menetap di Amerika Syarikat dan mengkritik keluarga pemerintah Saudi, dibunuh di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2018. Mayatnya dipotong dan tidak pernah ditemukan.
Perisikan Amerika Syarikat sebelum ini membuat kesimpulan bahawa Mohammed bin Salman terlibat secara langsung dalam pembunuhan Khashoggi, manakala siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan kematian wartawan itu sebagai pembunuhan di luar proses undang-undang yang menjadi tanggungjawab Arab Saudi.
Kesatuan wartawan itu menyifatkan lawatan berkenaan sebagai satu bentuk provokasi terhadap golongan yang memperjuangkan kebebasan media dan kebebasan bersuara.
Namun, pejabat presiden Perancis menegaskan bahawa lawatan tersebut menunjukkan kepentingan hubungan antara kedua-dua negara, memandangkan Mohammed bin Salman jarang meninggalkan Arab Saudi selain bagi menghadiri sidang kemuncak antarabangsa.
Arab Saudi turut dijadual menjadi tuan rumah beberapa acara global utama, termasuk Ekspo 2030 dan Piala Dunia FIFA 2034.
Arab Saudi, yang merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat dan mempunyai sejarah ketegangan dengan Iran, turut mengikuti perkembangan di republik Islam itu susulan konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran.

