Pengeluar titanium dioksida (TiO2) dan bahan kimia bukan organik termaju global, LB Group Co., Ltd. melabur sebanyak RM1 bilion bagi membangunkan sebuah fasiliti baharu di Gurun, Kedah.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan memaklumkan, upacara pecah tanah bagi fasiliti anak syarikat LB Group di Malaysia, LB Advanced Material Asia Sdn. Bhd., telah diadakan di Taman Perindustrian Berat Gurun (GHIP), Kedah pada Khamis.
Labur RM1 Bilion Di Kedah
Fasiliti baharu yang dibangunkan di kawasan seluas 60.1 ekar itu melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM1 bilion (kira-kira USD245 juta), termasuk RM600 juta bagi Fasa 1.
Projek berkenaan dijangka mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan berkemahiran kepada rakyat Malaysia, di samping menyumbang kepada pembangunan ekosistem perindustrian dan pembuatan bahan kimia di Kedah.
Fasiliti itu akan dibangunkan secara berfasa dengan kapasiti pengeluaran sehingga 300,000 tan setahun apabila siap sepenuhnya.
Ia sekali gus dijangka memperluas kehadiran operasi LB Group serta memperkukuh keupayaan rantaian bekalannya di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, keputusan LB Group untuk menubuhkan kemudahan pembuatan di Gurun mencerminkan keyakinan kukuh terhadap ekosistem perindustrian Malaysia serta potensi negara sebagai hab pembuatan serantau.
“Pelaburan dalam titanium dioksida dan bahan kimia bukan organik termaju ini akan memperkukuh keupayaan Malaysia dalam pembuatan bernilai tinggi serta menyumbang kepada pembangunan industri kimia yang lebih kompleks dan berdaya tahan, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Industri Kimia 2030.
“MIDA bersama Kerajaan Negeri Kedah akan terus memudah cara pelaksanaan projek ini, memperkukuh hubungan dengan pembekal tempatan serta memaksimumkan manfaat ekonomi yang lebih luas daripada pelaburan ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah LB Advanced Material Asia Sdn. Bhd., Liang Sun berkata, Malaysia menawarkan kelebihan geografi yang strategik, kemudahan infrastruktur industri berat yang komprehensif serta persekitaran pelaburan yang kondusif.
“Lokasi di Gurun dengan akses melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan rangkaian rel menghubungkan secara terus ke Pelabuhan Pulau Pinang.
“Penubuhan LB Advanced Material Asia membolehkan kami melayani pelanggan global dan serantau dengan lebih berkesan sambil meningkatkan ketahanan rantaian bekalan global kami,” katanya.
Sebagai peneraju global dalam pengeluaran titanium dioksida, LB Group mengendalikan rantaian nilai bersepadu yang merangkumi mineral titanium, titanium dioksida dan span titanium, selain terlibat dalam produk zirkonium dan bahan tenaga baharu.
Jenama utamanya, BILLIONS™, membekalkan produk kepada lebih 1,500 pelanggan di seluruh dunia bagi pelbagai aplikasi termasuk salutan, plastik, dakwat dan kertas.


