Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kebakaran Hutan Merebak Pantas, 42,000 Penduduk Reno Diarah Tinggalkan Rumah

kebakaran
Kredit: AFP

Lebih 42,000 penduduk diarahkan meninggalkan kediaman masing-masing selepas kebakaran hutan besar yang melanda berhampiran Reno, Nevada, Amerika Syarikat (AS) merebak sehingga ke pinggir bandar berkenaan.

Menurut laporan BBC, kira-kira 45,000 lagi penduduk turut diberi amaran supaya bersiap sedia untuk berpindah sekiranya keadaan semakin buruk.

Kebakaran yang dinamakan Hawk Fire itu pertama kali dilaporkan pada pagi Sabtu berhampiran Hawk Meadow Trail di barat Reno.

Setakat tengah hari Ahad, kebakaran berkenaan telah memusnahkan kira-kira 15,000 ekar kawasan dan masih belum berjaya dikawal sepenuhnya, menurut pusat maklumat kecemasan Washoe.

Seramai enam individu dilaporkan cedera dalam kejadian itu, termasuk tiga anggota pasukan kecemasan yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran.

Keadaan berangin serta cuaca yang tidak menentu dan kering dipercayai menyumbang kepada kebakaran itu merebak dengan pantas.

Gabenor Nevada, Joe Lombardo, telah mengisytiharkan darurat di Washoe County selain mengarahkan pasukan Pengawal Kebangsaan membantu usaha memadam kebakaran dan operasi penguatkuasaan undang-undang.

“Ini adalah situasi aktif dan berkembang dengan pantas. Saya menggesa semua pihak di kawasan terjejas supaya terus berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Menurut pihak berkuasa tempatan, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada aktiviti manusia.

Kira-kira 13,700 kediaman berada dalam kawasan arahan pemindahan, manakala dua pusat perlindungan sementara turut dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas.

Seorang wartawan tempatan dari KUNR Public Radio, Lucia Starbuck, berkata kebakaran itu telah membesar dengan sangat pantas.

“Kebakaran itu benar-benar membesar dengan cepat.

“Ia membakar kawasan bukit padang pasir yang kering dengan kawasan kejiranan terletak di bahagian bawah. Kami tahu beberapa rumah telah musnah, namun jumlah sebenar masih belum diketahui,” katanya kepada BBC.

Sementara itu, Pengawal Kebangsaan Nevada memaklumkan seramai 72 anggota, sebuah helikopter Chinook dan sebuah helikopter Black Hawk telah digerakkan bagi membantu operasi.

Pesawat tangki udara dan helikopter turut dikerahkan ke kawasan terjejas untuk menjatuhkan air serta bahan kalis api.

Semua sekolah di Washoe County dijadualkan ditutup pada Isnin, kecuali sebuah sekolah, selain beberapa laluan jalan raya turut ditutup.

Pusat bandar Reno bagaimanapun tidak termasuk dalam zon arahan pemindahan segera, namun kawasan amaran yang lebih luas melibatkan beberapa kawasan bandar serta sebahagian lebuh raya.

Ketua Bomba Truckee Meadows Fire and Rescue, Richard Edwards, menyifatkan pasukan bomba yang bertugas berdepan dengan keadaan kebakaran yang ekstrem.

Reno yang terletak di barat Nevada berhampiran sempadan California mempunyai kira-kira 280,000 penduduk.

Kebakaran hutan merupakan antara kejadian yang kerap berlaku di beberapa negeri di barat daya AS, termasuk Nevada, dengan keadaan cuaca panas dan kering menyumbang kepada risiko api merebak dengan lebih pantas.

Ketika ini terdapat tiga kebakaran besar dilaporkan berlaku di Nevada daripada keseluruhan 79 kebakaran di seluruh AS.

Sumber:BBC
Intipati
  • Lebih 42,000 penduduk Reno diarahkan berpindah selepas Hawk Fire merebak ke pinggir bandar.
  • Kebakaran memusnahkan kira-kira 15,000 ekar dan masih belum berjaya dikawal sepenuhnya setakat Ahad.
  • Enam individu cedera, manakala Pengawal Kebangsaan Nevada digerakkan membantu operasi pemadaman kebakaran.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan