Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AS, Arab Saudi Lancar Serangan Ke Atas Kumpulan Disokong Iran Di Iraq

AS, Arab Saudi Lancar Serangan
Kredit: X RT

AS, Arab Saudi Lancar Serangan Ke Atas Kumpulan Disokong Iran Di Iraq

Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi melancarkan serangan udara pada Selasa terhadap kumpulan militan yang disokong Iran di Iraq selepas kumpulan itu didakwa melancarkan lebih dua dozen serangan dron sejak beberapa hari lalu, menurut tentera AS.

Memetik laporan AFP, Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) berkata serangan itu menyasarkan kumpulan yang berpihak kepada Iran dan diarahkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) untuk menyerang pasukan AS serta infrastruktur tenaga Arab Saudi.

CENTCOM turut memberi amaran bahawa IRGC dan kumpulan proksinya mesti menghentikan serangan ini bagi mengelakkan tindak balas ketenteraan lanjut daripada AS.

Sementara itu, Arab Saudi mengesahkan penglibatannya dalam operasi itu.

Kementerian Pertahanannya memaklumkan bahawa pihaknya menyerang sasaran milik kumpulan militia di wilayah Iraq yang dikaitkan dengan serangan terhadap kemudahan minyak kerajaan.

Serangan itu dibuat selepas kementerian berkenaan memaklumkan bahawa pasukan pertahanannya berjaya memintas beberapa dron yang menyasarkan kemudahan minyak di bahagian timur negara itu, sambil menuduh kumpulan yang disokong Iran di Iraq sebagai dalang serangan tersebut.

Sehari sebelum itu, Riyadh menggesa kerajaan Iraq mengambil tindakan menghalang sebarang serangan yang dilancarkan dari wilayah negara berkenaan. Sebagai tindak balas, Baghdad memaklumkan bahawa satu siasatan telah diarahkan.

Terdahulu pada Selasa, CENTCOM mendakwa Iran melancarkan beberapa peluru berpandu balistik dalam satu cubaan serangan mengejut terhadap pasukan AS yang berpangkalan di Asia Barat, namun kesemuanya berjaya dipintas.

Kedua-dua pihak sebelum ini menghentikan sementara serangan sepanjang hujung minggu selepas hampir dua minggu menyaksikan serangan udara setiap malam oleh AS ke atas Iran, selain beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron oleh Tehran yang menyasarkan sekutu Washington di rantau Teluk.