Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

AS, Israel Dakwa Ali Khamenei Terbunuh, Iran Nafi
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei telah meninggal dunia susulan serangan yang dilancarkan Israel dan AS, yang didakwa bertujuan menjatuhkan republik Islam berkenaan.
Menurut AFP, laporan mengenai kematian Khamenei mencetuskan sorakan di beberapa jalan utama di Tehran, ketika kepulan asap hitam dilihat di daerah Pasteur, lokasi kediaman rasmi beliau, menurut saksi yang dipetik media antarabangsa.
Khamenei memegang jawatan sebagai pemimpin tertinggi Iran sejak 1989.
Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump mendakwa beliau sudah tidak lagi hidup.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum ini memaklumkan terdapat “banyak petunjuk” yang menunjukkan Khamenei dipercayai terkorban dalam serangan terbabit.
Serangan yang dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel itu mencetuskan tindak balas segera daripada Tehran apabila Iran melancarkan bedilan peluru berpandu ke beberapa lokasi di seluruh Asia Barat.
Difahamkan, serangan berkenaan dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya seorang mangsa, manakala ramai lagi cedera susulan letupan yang menggegarkan sebuah bandar utama di negara Teluk.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Iran menggesa penduduk supaya mengosongkan ibu negara yang dihuni kira-kira 10 juta orang sebagai langkah keselamatan.
Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Iran memaklumkan sekurang-kurangnya 201 individu terkorban dan lebih 700 lagi mengalami kecederaan akibat siri serangan berkenaan.
Badan kehakiman Iran memaklumkan bahawa satu serangan yang mengenai sebuah sekolah di selatan negara itu mengorbankan 108 individu.
Bagaimanapun, AFP tidak dapat mengakses lokasi kejadian bagi mengesahkan jumlah korban mahupun keadaan sebenar di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan seorang orang awam maut selain kerosakan akibat peluru berpandu di Dubai dan Abu Dhabi.
Letupan susulan serangan balas Tehran serta pintasan sistem pertahanan udara turut dilaporkan bergema di Israel, Arab Saudi, Bahrain, Qatar, Jordan dan Kuwait.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, sebelum ini memberitahu NBC News bahawa Ayatollah Ali Khamenei masih hidup “setakat pengetahuan saya”, sambil menambah bahawa “semua pegawai kanan masih hidup”.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baqaei, ketika ditanya mengenai keadaan kesihatan Khamenei oleh BBC, berkata beliau “tidak berada dalam kedudukan untuk mengesahkan apa-apa”, namun menegaskan bahawa “seluruh sistem dan negara kini tertumpu mempertahankan kedaulatan negara”.
Menggambarkan konflik yang masih berterusan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata “ribuan” sasaran akan diserang dalam beberapa hari akan datang, manakala pegawai keselamatan tertinggi Iran berikrar untuk melancarkan tindak balas yang lebih hebat.
Tentera Israel turut mendakwa penasihat kanan Khamenei, Ali Shamkhani, serta ketua Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Jeneral Mohammad Pakpour, terbunuh dalam serangan berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Ali Larijani, menegaskan bahawa tentera yang berani dan rakyat Iran yang agung akan memberi pengajaran yang tidak akan dilupakan kepada penindas antarabangsa.
Kementerian Luar Oman, yang berperanan sebagai pengantara dalam rundingan terbaharu antara Amerika Syarikat dan Iran, menggesa semua pihak menghentikan segera operasi ketenteraan dan menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengisytiharkan gencatan senjata.