Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AS Kenakan Tarif 104 Peratus Ke Atas Produk Indonesia Ini

Iqbal Yasir
AS Kenakan Tarif 104 Peratus
Kredit: AFP

AS Kenakan Tarif 104 Peratus Ke Atas Produk Indonesia Ini

Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS), DOC menetapkan duti timbal balas sementara ke atas import produk sel dan panel solar sebanyak 104.38 peratus dari Indonesia, lapor Detikfinance.

Difahamkan, langkah tersebut diambil bagi mengurangkan kesan subsidi kerajaan republik itu terhadap produk solar buatan AS.

Selain Indonesia, dua lagi negara turut dikenakan duti timbal balas sementara, India (125.87 peratus) dan Laos (80.67 peratus).

Jelas DOC, pengeluar sel dan panel solar yang beroperasi di ketiga-tiga negara berkenaan menerima subsidi daripada kerajaan masing-masing sehingga menyebabkan produk AS menjadi kurang kompetitif.

Situasi ini dapat dilihat menerusi jumlah import dari tiga negara tersebut yang mencecah kira-kira AS$4.5 bilion (sekitar RM75.44 trilion), atau hampir dua pertiga daripada jumlah keseluruhan import AS pada tahun 2025.

Menurut pihak berkuasa, dasar ini juga meneruskan trend pengenaan tarif terhadap import panel solar murah dari Asia sejak lebih sedekad lalu, yang kebanyakannya dihasilkan oleh syarikat-syarikat berpangkalan di China.

Selain tarif umum, DOC turut mengenakan tarif khusus terhadap pengeluar dari ketiga-tiga negara berkenaan.

Bagi syarikat dari Indonesia misalnya, AS mengenakan tarif sebanyak 143.3 peratus terhadap PT Blue Sky Solar dan 85.99 peratus terhadap PT REC Solar Energy.

Pengumuman ini merupakan peringkat pertama daripada dua keputusan yang akan dibuat dalam kes perdagangan yang difailkan tahun lalu oleh Alliance for American Solar Manufacturing and Trade, yang turut melibatkan Hanwha Qcells, First Solar dan Mission Solar.

Peguam utama pakatan tersebut, Tim Brightbill, menyifatkan langkah ini sebagai satu tahap penting dalam usaha memulihkan persaingan yang adil di AS.

Beliau menegaskan bahawa pelaburan besar tidak akan membuahkan hasil sekiranya import yang didakwa diperdagangkan secara tidak adil terus dibiarkan mengganggu pasaran.

"Pengeluar Amerika melaburkan berbilion dolar untuk membina semula kapasiti domestik dan mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang berpatutan.

"Pelaburan itu tidak akan berjaya jika import yang diperdagangkan secara tidak adil terus memesongkan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan lain, DOC dijadualkan membuat keputusan berasingan bulan depan bagi menilai sama ada syarikat-syarikat dari Indonesia, India dan Laos menjual produk mereka di pasaran Amerika pada harga di bawah kos pengeluaran.