Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Amerika Syarikat (AS) melancarkan gelombang serangan baharu terhadap Iran pada Rabu, dengan Presiden Donald Trump berikrar untuk menyerang mereka dengan dahsyat selepas rundingan bagi menamatkan perang yang berlarutan lebih tiga bulan menemui jalan buntu.
Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) berkata, tentera negara itu memulakan serangan tambahan bagi mempertahankan diri pada jam 5.15 petang waktu Washington terhadap beberapa sasaran di Iran.
Memetik AFP, serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan berterusan dan tidak berasas oleh Tehran.
Media Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di seluruh bahagian selatan negara itu berhampiran Selat Hormuz, iaitu kawasan sama yang menyaksikan tentera AS mengebom sistem pertahanan udara, radar dan beberapa lokasi lain pada Selasa.

Sumber Iran melaporkan beberapa kawasan di Qeshm, Kargan dan Sirik terkena peluru musuh.
Serangan AS untuk hari kedua berturut-turut itu berlaku selepas Trump mendakwa perunding Iran cuba mempermainkan Washington.
“Kami menyerang mereka dengan dahsyat semalam. Kami akan menyerang mereka dengan dahsyat sekali lagi hari ini.
“Kami sebenarnya sudah hampir mencapai persetujuan, tetapi mereka terus melengah-lengahkan kami," kata Trump kepada pemberita.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth memberi bayangan serangan tersebut mungkin berlanjutan sehingga malam ketiga, sambil menyifatkan tindakan itu akan dilakukan secara tegas dan jelas.
Peningkatan ketegangan tersebut mencetuskan gesaan antarabangsa supaya kedua-dua pihak menahan diri, menjelang kejohanan Piala Dunia yang turut dianjurkan AS dan disertai Iran.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran supaya konflik itu tidak kembali bertukar menjadi perang secara menyeluruh.
Sementara itu, duta Iran ke PBB, Amir Saeid Iravani pula menolak ancaman Trump dengan menegaskan bahawa tiada persetujuan berkekalan boleh dicapai melalui ancaman, intimidasi atau penggunaan kekerasan.
Bagaimanapun, usaha diplomatik dilaporkan masih belum gagal sepenuhnya.
Perang tersebut bermula pada penghujung Februari menerusi serangan besar-besaran AS dan Israel terhadap Iran.
Serangan itu menggemparkan rantau berkenaan serta pasaran global sebelum satu gencatan senjata yang semakin rapuh mula berkuat kuasa.
Konflik tersebut turut menyebabkan harga tenaga meningkat selepas Tehran bertindak balas dengan hampir menutup sepenuhnya Selat Hormuz, laluan yang biasanya digunakan untuk mengangkut kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia.