Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sekumpulan ahli astronomi berjaya mengesan sejenis gula semula jadi yang turut ditemui dalam buah raspberi di dalam awan debu dan gas antara bintang berhampiran pusat galaksi Bima Sakti.
Memetik CNN, penemuan itu menjadi bukti pertama bahawa sebatian penting yang berkaitan dengan kehidupan boleh terbentuk di kawasan luas antara bintang.
Ia sekali gus membuka harapan bahawa lebih banyak molekul penting yang berkait dengan asal-usul kehidupan mungkin ditemui di angkasa pada masa hadapan.
Pasukan penyelidik diketuai ahli astronomi dari Pusat Astrobiologi Sepanyol berjaya mengesan gula dikenali sebagai erythrulose, iaitu sebatian yang terdiri daripada empat atom karbon.
Gula memainkan peranan penting dalam sistem kehidupan kerana membantu membekalkan tenaga, membina struktur biologi serta membentuk sebahagian bahan genetik seperti RNA dan DNA.
Bagi menjalankan kajian tersebut, pasukan penyelidik menggunakan dua teleskop radio iaitu di Balai Cerap Yebes berhampiran Madrid dan Institut Astronomi Radio Dalam Julat Milimeter (IRAM) di Sierra Nevada, selatan Sepanyol.
Mereka mengkaji awan molekul dikenali sebagai 'G+0.693−0.027' yang terletak berhampiran pusat galaksi Bima Sakti.
Penemuan erythrulose dibuat dengan membandingkan corak molekul yang dikesan melalui gelombang radio dengan corak panjang gelombang gula tersebut yang telah diukur dalam makmal.
Menurut penyelidik utama kajian, Izaskun Jiménez-Serra, penemuan itu agak mengejutkan kerana pandangan umum dalam bidang astrokimia sebelum ini menyatakan molekul antara bintang biasanya membesar secara berperingkat melalui penambahan atom karbon.
"Penemuan tersebut menunjukkan bahawa gula yang agak kompleks boleh terbentuk di ruang antara bintang sebelum bintang dan planet dilahirkan," katanya.
Kajian itu turut mencadangkan bahawa erythrulose mungkin terbentuk daripada molekul lebih ringkas pada permukaan debu ais di angkasa sebelum menjadi sebahagian daripada sistem kimia yang lebih kompleks.
Setakat ini, saintis telah mengesan lebih 340 jenis molekul dalam bahan dan gas antara bintang di galaksi Bima Sakti, namun penemuan gula dalam kawasan tersebut merupakan sesuatu yang baharu.
Profesor Mark Sephton dari Jabatan Sains Bumi dan Kejuruteraan, Imperial College London, berkata penemuan gula dan sebatian berkaitan dalam ruang antara bintang menguatkan teori bahawa sistem suria mungkin terbentuk daripada bahan organik yang telah wujud lebih awal.
Sebelum ini, gula seperti ribosa dan glukosa pernah ditemui dalam meteorit purba serta sampel asteroid Bennu yang dikumpulkan pada 2020.
Penemuan tersebut memberi petunjuk bahawa sebahagian molekul gula mungkin berasal dari angkasa sebelum dihantar ke Bumi melalui meteorit.
Yoshihiro Furukawa dari Universiti Tohoku, Jepun, yang terlibat dalam kajian gula daripada sampel asteroid Bennu, turut bersetuju bahawa gula berpotensi sampai ke Bumi dan planet lain melalui komet serta debu asteroid.
Bagaimanapun, proses bagaimana kehidupan mula terbentuk masih belum dapat dijelaskan sepenuhnya oleh saintis.
Penyelidik menganggarkan antara 500,000 hingga 50 juta tan metrik gula tersebut mungkin pernah sampai ke permukaan Bumi ketika tempoh dikenali sebagai 'Pengeboman Berat Lewat' kira-kira 4 bilion tahun lalu, apabila asteroid menghentam planet-planet dalaman sistem suria.
Namun, kewujudan tempoh tersebut masih menjadi perdebatan dalam kalangan saintis, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).