Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa keputusan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meninggalkan parti itu ada kaitan dengan kegagalan anaknya dipilih sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, Asyraf berkata beliau berasa dukacita dengan keputusan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, namun menegaskan alasan yang diberikan Puad tidak berasas.
Menurut beliau, dakwaan kononnya Istana mengawal UMNO Johor sehingga membawa kepada pembubaran DUN Johor sebelum ini juga disifatkan sebagai satu fitnah.
“Beliau sendiri pernah menghantar mesej panjang kepada saya dan memberi bayangan akan keluar parti serta menyerang kepimpinan sekiranya anaknya tidak dipertimbangkan sebagai calon di DUN Rengit.
“Memang benar anak beliau masih muda dan mempunyai potensi, namun parti perlu menilai pelbagai faktor sebelum membuat keputusan pemilihan calon,” katanya.
Asyraf berkata, tindakan seorang pemimpin berpengalaman yang mensyaratkan anaknya untuk dicalonkan sebagai pengganti adalah sesuatu yang tidak wajar.
Malah, beliau turut mendakwa tindakan mengugut untuk meninggalkan parti bukanlah kali pertama dilakukan Puad.
Katanya, ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO, Puad juga pernah memberi bayangan untuk keluar parti sekiranya tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat.
Sehubungan itu, Asyraf menegaskan UMNO bukan sebuah parti yang mengutamakan kepentingan keluarga atau diwariskan kepada kelompok tertentu.
“Perjuangan UMNO jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu.
“UMNO akan terus berdiri sebagai wadah perjuangan bangsa, agama dan tanah air tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu, Puad mengumumkan keluar UMNO berkuat kuasa serta-merta dengan mendakwa UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan dan dipengaruhi pihak Istana.