Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Awas! Ini 6 Benda Paling Kotor di Dapur Anda
Dapur sering dianggap sebagai jantung rumah, tempat lahirnya aroma masakan yang membangkitkan selera serta menjadi ruang utama ahli keluarga berkumpul sambil berkongsi cerita.
Di sinilah kasih sayang diterjemahkan dalam bentuk hidangan. Dari sarapan ringkas sehingga makan malam penuh rasa.
Namun, di sebalik suasana mesra dan harmoni itu, dapur sebenarnya boleh menjadi lokasi paling berbahaya dan kotor dari sudut kebersihan sekiranya tidak dijaga dengan rapi.
Kita sering memberi perhatian kepada lantai yang dipenuhi tumpahan atau tong sampah yang menunggu untuk dibuang kerana menyangkanya sebagai punca utama kotoran.
Hakikatnya, bahaya kebersihan di dapur tidak hanya datang daripada perkara yang jelas kelihatan. Terdapat beberapa peralatan kecil yang digunakan hampir setiap hari.
Sebenarnya, di situlah bakteria bersembunyi. Ianya menjadi sarang kuman akibat kelembapan, sisa makanan yang terperangkap atau tabiat tidak menggantikan peralatan lama dengan yang baru.
Lebih membimbangkan, benda-benda ini kerap bersentuhan dengan tangan, permukaan meja malah makanan yang bakal kita hidangkan kepada keluarga.
Tanpa sedar, inilah pintu masuk kepada pencemaran silang yang boleh menjejaskan kesihatan dari sekadar sakit perut ringan hinggalah kepada keracunan makanan yang lebih serius.
Dalam artikel kali ini, kami akan bongkarkan 6 benda paling kotor di dapur yang ramai orang tidak sangka penuh dengan bakteria.
Lebih penting, anda juga akan tahu cara mudah bagaimana untuk membersihkannya supaya dapur kembali menjadi ruang yang selamat dan sihat untuk seisi keluarga.
Span atau kain pengelap pinggan merupakan juara dalam senarai tempat pembiakan bakteria. Ini kerana sifatnya yang sentiasa lembap, digunakan berulang kali dan menyerap pelbagai jenis sisa makanan.
Dalam keadaan sebegini, span menjadi habitat sempurna untuk bakteria membiak dengan cepat. Kajian kebersihan juga menunjukkan span dapur boleh mengandungi jutaan bakteria malah lebih banyak berbanding permukaan tandas.
Bayangkan setiap kali kita menggunakan span yang sama untuk membasuh pinggan, bakteria itu berpindah semula ke pinggan bersih kita. Justeru, sangat penting untuk menukar span sekurang-kurangnya seminggu sekali.
Anda boleh juga merendamnya dengan air panas atau cuka dan memastikan ia dijemur sehingga kering setiap kali selepas digunakan.
2. Papan pemotong
Papan pemotong adalah alat yang tidak pernah lekang daripada penggunaan harian di dapur. Sama ada memotong bawang, daging, ayam atau sayur-sayuran, papan ini menjadi alat asas setiap kali memasak.
Namun, di situlah juga risiko tersembunyi. Celahan kesan potongan pada papan terutama papan kayu atau plastik mudah memerangkap darah, air daging mentah dan sisa makanan.
Sekiranya papan yang sama digunakan untuk memotong daging mentah dan kemudian sayur tanpa dibasuh dengan sempurna, bakteria akan berpindah dengan mudah ke makanan lain.
Inilah yang dipanggil pencemaran silang dan ia boleh menjadi punca keracunan makanan. Cara terbaik ialah menggunakan papan secara berasingan.
Satu khusus untuk daging mentah, satu lagi untuk sayur atau buah. Anda juga boleh mencuci papan tersebut dengan sabun serta air panas selepas setiap kali digunakan.
Kita mungkin rajin membersihkan permukaan meja dapur tetapi bahagian pemegang peti sejuk dan tombol dapur jarang sekali diberi perhatian.
Sebenarnya, dua bahagian ini antara yang paling kerap disentuh sepanjang hari. Bayangkan selepas memegang ayam mentah, tangan berminyak atau penuh dengan sisa makanan, kita terus membuka peti sejuk atau memulas tombol dapur.
Semua kotoran itu akan melekat di permukaan dan kekal di situ menunggu disentuh semula oleh tangan lain.
Situasi ini menjadikan pemegang peti sejuk dan tombol dapur sebagai tempat berkumpulnya bakteria walaupun nampak bersih.
Untuk mengekalkan kebersihan, biasakan mengelap bahagian ini sekurang-kurangnya sekali sehari menggunakan kain bersih yang direndam dengan air sabun atau cecair pembasmi kuman.
Langkah mudah ini mampu mengurangkan risiko penyebaran kuman dalam dapur.
4. Sinki dapur
Di samping itu, sinki adalah kawasan yang paling banyak menerima pelbagai jenis kotoran. Dari air basuhan ikan, ayam, sayur sehinggalah kepada sisa makanan dari pinggan.
Keadaan yang sentiasa lembap dan bercampur dengan sisa organik menjadikannya sebagai lokasi yang sangat sesuai untuk bakteria membiak dengan pantas.
Kadangkala, sinki yang tidak dicuci dengan betul akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Ianya menandakan terdapat kotoran yang berkumpul.
Lebih buruk lagi, bakteria dari sinki boleh berpindah ke span atau kain pengelap yang digunakan untuk membersihkan kawasan lain.
Justeru, amalan membersihkan sinki dengan sabun pencuci atau larutan cuka selepas setiap kali digunakan sangat penting.
Selain itu, pastikan juga penapis sinki dibersihkan setiap hari agar sisa makanan tidak terkumpul dan menjadi punca kepada pembiakan kuman.
BACA : BUDI95: Cara Tebus Subsidi Petrol RON95 RM1.99 Seliter
Blender atau pengisar sering menjadi perangkap tersembunyi bakteria. Hal ini kerana bahagian bilah dan penutupnya sukar dibersihkan dengan sempurna.
Ramai orang hanya mencuci sekadar lalu tanpa membuka semua komponen untuk memastikan tiada sisa makanan tertinggal.
Padahal, sisa kecil daripada buah, sayur atau bahan mentah yang melekat di celah bilah boleh menjadi medium terbaik untuk bakteria hidup.
Jika digunakan semula tanpa dicuci dengan teliti, bakteria itu akan bercampur dengan makanan baru. Oleh itu, selepas setiap kali penggunaan, pastikan blender dibuka sepenuhnya.
Keluarkan bilah, penutup dan bekasnya lalu dicuci dengan sabun serta air panas. Biarkan ia kering sepenuhnya sebelum disimpan untuk mengelakkan kelembapan yang boleh mengundang kuman.
6. Kain lap dapur
Kain lap dapur mungkin kelihatan remeh tetapi hakikatnya ia antara punca pencemaran yang paling besar. Ia sering digunakan untuk mengelap meja, membersihkan tumpahan makanan, menyapu minyak atau bahkan mengelap tangan ketika memasak sehingga menyerap pelbagai jenis kotoran dalam masa yang singkat.
Sekiranya ia dibiarkan lembap dan digunakan berulang kali tanpa dicuci, bakteria akan membiak dengan cepat.
Lebih membimbangkan, ramai yang terus menggunakan kain lap yang sama untuk membersihkan permukaan dapur yang sudah dibersihkan sebelumnya. Ianya sekali gus menyebarkan semula bakteria ke kawasan lain.
Untuk mengelakkan hal ini, jadikan rutin menukar kain lap sekurang-kurangnya setiap dua hingga tiga hari dan basuh dengan sabun serta air panas agar benar-benar bebas daripada kuman.
Kesimpulannya, kebersihan dapur tidak seharusnya diukur hanya melalui pandangan mata kasar. Walaupun kelihatan tersusun dan berkilau, hakikatnya banyak peralatan yang digunakan setiap hari menjadi tempat berkumpulnya bakteria berbahaya.
Dengan memberi perhatian khusus kepada enam benda utama ini dan mengamalkan rutin pembersihan yang lebih teliti, kita dapat memastikan dapur bukan sahaja kelihatan bersih tetapi benar-benar selamat untuk menyediakan makanan buat seisi keluarga.
BACA : Bahaya Tidur Dalam Kereta Yang Ramai Tak Tahu
Sumber :
goodhousekeeping
,
allrecipes