Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya (merah) terhadap dua negeri di Semenanjung Malaysia, sehingga esok.
Menurut kemaskini MetMalaysia setakat jam 6.20 petangi tadi, kawasan-kawasan yang dijangka mengalami hujan lebat berterusan kategori merah (bahaya) hingga 3 Januari 2022 ialah daerah Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin di Pahang serta seluruh negeri Johor.
Sementara itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan lebat kategori jingga (buruk) di beberapa kawasan hingga esok. Lokaliti yang terkesan adalah daerah Jerantut, Bentong, Temerloh dan Maran (Pahang); Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) di Sabah serta seluruh negeri Melaka dan Negeri Sembilan.
Pada masa yang sama, empat negeri telah dikeluarkan amaran hujan lebat tahap waspada (kuning) sehingga esok. Kawasan-kawasan terlibat adalah:
Perak – Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim
Selangor
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Wilayah Persekutuan Putrajaya
Manakala kawasan-kawasan terlibat amaran hujan lebat tahap waspada sehingga 4 Januari 2022 adalah Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub (Pahang); negeri Sabah di kawasan Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud) dan Sandakan (Kinabatangan) serta seluruh negeri Kelantan dan Terengganu.
Oleh itu, semua penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan maklumat cuaca terkini.
Sumber: MetMalaysia