Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Ungkapan itu cukup menggambarkan betapa besarnya kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak.
Pengorbanan mereka sememangnya sukar dinilai dengan wang ringgit. Apa sahaja sanggup dilakukan demi melihat anak-anak bahagia.
Seperti yang dikongsikan seorang pengguna Threads mengenai bapanya yang tetap memberikan hadiah hari lahir kepadanya, meskipun sedang berdepan kesempitan kewangan selepas baru sahaja diberhentikan kerja.
“Ini duit terakhir yang ada...”
Menerusi perkongsian itu, @bukanyayakot memuat naik tangkap layar perbualan bersama bapanya menerusi aplikasi WhatsApp.
“Dari pagi nangis tanpa henti sebab ni, ayah saya baru kena buang kerja tau tapi dia tetap bagi duit sebagai hadiah hari jadi,” katanya.
Tindakan bapanya yang tetap mengirimkan RM15 sebagai hadiah hari lahir membuatkan ramai netizen yang membaca perkongsian tersebut turut sebak.
“Selamat hari lahir anak, ini sahaja yang ayah mampu bagi, RM15 hadiah hari lahir adik. Ini duit terakhir yang ada.
“Makan sedap-sedap. Kek hari jadi ayah beli nanti. Doakan adik, ayah dapat rezeki lebih nanti ayah bagi lagi. Ayah sayang adik, okay,” kata bapanya.
Gadis tersebut yang berada di dalam kelas ketika menerima mesej berkenaan tidak dapat menahan tangis.
“Ayah, adik dalam kelas ni. Ayah tak payah bagi kalau ayah tak ada duit. Ayah sihat lagi pun dah jadi hadiah untuk adik. Ayah kenapa bagi adik nangis dalam kelas,” katanya.

Pesanan Bermakna Buat Anak Tunggal
Bapanya berkali-kali memohon maaf kerana belum mampu memberikan wang yang banyak dan dalam masa sama menitipkan pesanan yang cukup membekas di hati.
“Tak apa adik, ambil saja. Adik hadiahkan ayah keputusan cemerlang saja. Banggakan arwah ibu dan ayah. Jaga solat, aurat dan maruah saja.
“Terima kasih adik sebab lahir ke dunia. Ayah sayang anak tunggal, satu-satunya anak ayah. Love you anak,” kata bapanya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mendoakan agar gadis itu berjaya dan keluarganya dimurahkan rezeki.
“Akak doakan adik menjadi anak yang berjaya. Jadikan benda ni sebagai penguat untuk terus berjaya dan banggakan ayah satu hari nanti. Semoga ayah adik selalu sihat dan dipanjangkan umur,” kata seorang netizen.
“Hargai ayah ya, balas jasa beliau. Selamat hari jadi,” kata seorang lagi.
Benarlah seperti yang dikata, kasih ayah sepanjang masa. Semoga kita semua diberikan peluang untuk membalas jasa kedua-dua ibu bapa selagi mereka masih ada.

