Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Mereka Hebat,” Naib Canselor UPSI Rai Pelajar Anak Yatim, Ucapannya Buat Ramai Sebak

Naib Canselor UPSI
Kredit: ncupsi

Melangkah ke alam universiti pastinya menjadi antara detik paling bermakna dalam kehidupan seorang pelajar.

Apatah lagi bagi mereka yang berjaya melanjutkan pengajian selepas melalui pelbagai cabaran dan kesukaran.

Di sebalik senyuman ketika menerima tawaran melanjutkan pengajian, ada pelajar yang menyimpan kisah perjuangan mereka yang tersendiri.

Naib Canselor UPSI Rai Pelajar Anak Yatim

Baru-baru ini, satu momen ketika sesi ucapan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, ketika meraikan pelajar baharu mencuri perhatian ramai.

Manakan tidak, ucapan beliau menyentuh mengenai beberapa pelajar baharu yang merupakan anak yatim.

Malah, tindakan beliau menjemput semua pelajar itu naik ke atas pentas nyata mengundang rasa sebak.

“Selalu kita merungut ayah tak belikan, selalu kita bersungut ibu tak tunaikan. Selalu kita membanding di dalam TikTok, Threads, Instagram dan X tentang kemewahan rakan-rakan lain.

“Selalu kita bertanya kenapa mak dan ayah tak bawa kita pergi bercuti. Selalunya kita lupa akan kepentingan dua insan, dua wali yang sentiasa ada bersama kita,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar yang bernama Ruby menceritakan bahawa dia telah kehilangan ibu bapa dan tiga adik beradik dalam kebakaran pada bulan puasa.

Tepukan gemuruh kedengaran selepas Dr Md Amin berkata Ruby seorang yang kuat dalam menempuh ujian itu.

“Awak semua tengok kekuatan Ruby, sangat kuat walaupun kehilangan insan tersayang dengan tiga adik beradik. Inilah pelajar UPSI, hebat dan kuat.

“Dia melihat ujian yang datang sebagai satu ujian, bukan satu bala. Berikan tepukan kepada Ruby,” ujarnya.

Malah, beliau juga memaklumkan Ruby akan dijadikan anak angkat beliau.

“Adik-adik semua perhatikan, ketika kita merintih mak tak belikan baldi warna pink yang kita nak, ketika kita bersungut mak tak belikan minyak rambut yang kita nak.

“Ketika kita bising dengan abang sebab tak dapat minyak wangi, perhatikan anak yatim piatu duduk dengan nenek, duduk dengan kakak. Susah sesusah-susahnya.

“Pelbagai dugaan ketika nak STPM. Ini bukan saya bohong, awak semua dengar sendiri daripada sahabat-sahabat awak.

“Saya berharap sangat hari ini ada sesi secara langsung supaya anak di rumah pun boleh dengar perkara ini,” katanya.

Tambah Dr Md Amin lagi, di saat ramai yang membandingkan kehidupan dengan orang lain, mereka yang kehilangan kedua ibu bapa gigih dan tabah menempuhi kehidupan.

“Inilah kejayaan yang sebenar, inilah perjuangan yang sebenar dan inilah contoh-contoh yang perlu kalian tiru dan banggakan,” jelasnya.

Menerusi kapsyen video tersebut, Dr Md Amin juga berikrar untuk menjaga kebajikan dan hal ehwal pelajar-pelajar tersebut.

“Kerana inilah amanah, jariah dan jiwa kami segenap warga UPSI,” katanya.

Sumber:@ncupsi
Intipati
  • Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff meraikan pelajar baharu UPSI yang merupakan anak yatim.
  • Seorang pelajar bernama Ruby berkongsi kisah kehilangan ibu bapa dan tiga adik beradik.
  • Dr Md Amin berikrar menjaga kebajikan pelajar terbabit sebagai amanah warga UPSI.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan