Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bila bercakap pasal tempoh selepas kelahiran, ramai yang akan berkongsi tentang perubahan dari segi fizikal, emosi dan mental.
Tapi, tak ramai yang menyebut tentang satu perkara yang mungkin sedikit memalukan, iaitu badan berbau selepas bersalin.
Tapi sebenarnya, fenomena bau badan yang kuat atau kurang menyenangkan dalam tempoh postpartum adalah perkara yang normal.
Perkongsian @caramellsyrupp di Threads tentang bau badan yang dia alami pada tempoh postpartum telah menarik perhatian ramai untuk berkongsikan pengalaman mereka.
Menurut @caramellsyrupp, wanita yang beru bersalin akan mempunyai satu bau untuk membantu anak mengenali ibu mereka.
"Bau ni takde masa baru kahwin/mengandung. Memang wujud lepas bersalin dan bau dia macam hanyir sikit lah. Tambah lagi, bau susu jadi masam sikit," katanya.
Bila baca pengalaman orang ramai, mesti ada yang tertanya, apa punca bau badan selepas bersalin?
Selepas bersalin, perubahan hormon boleh menyebabkan pengeluaran peluh meningkat dan kadar metabolisme berubah, sekali gus menyumbang kepada bau badan.
Menurut pakar, perubahan tahap pH di bahagian tubuh tertentu seperti faraj juga boleh mengubah flora dan menghasilkan bau berbeza. Selain itu, bau susu ibu mungkin lebih ketara selepas refleks pengeluaran susu (milk let-down) berlaku.
Deria bau wanita juga mungkin menjadi lebih sensitif ketika hamil, walaupun perkara ini masih belum dapat disahkan melalui kajian.
Walaupun agak mengganggu, bau badan selepas bersalin sebenarnya normal dan boleh membantu bayi mengenali ibunya.
Beberapa kajian menunjukkan bau susu ibu, payudara dan tubuh ibu menjadi isyarat penting kepada bayi baru lahir untuk menyusu dan membuat hubungan mata, sekali gus mengeratkan ikatan antara ibu dan bayi.
Malah, bayi boleh mula mengenali ibu mereka melalui bau dalam beberapa hari sahaja selepas dilahirkan.
Tempoh bau badan selepas bersalin berbeza bagi setiap wanita dan boleh berlarutan selama beberapa minggu hingga beberapa bulan.
Menurut Chuang, bau badan biasanya mula berkurangan antara minggu ke-12 hingga ke-16 selepas bersalin, sekitar tempoh lochia atau pendarahan selepas bersalin berhenti.
Namun, bau badan juga boleh berlarutan lebih setahun jika ibu masih menyusukan bayi. Menurut Hack, perubahan hormon yang berterusan dan peningkatan pengeluaran peluh ketika menyusu boleh menjadi puncanya.
Secara keseluruhannya, bau badan akan beransur kurang apabila hormon kembali stabil selepas bersalin.
Mandi setiap hari: Lebih-lebih lagi jika banyak berpeluh. Jika perlu, lap bahagian tubuh yang mudah berpeluh menggunakan tisu basah antara waktu mandi.
Jaga kebersihan: Pastikan luka pembedahan C-section atau kawasan kemaluan sentiasa bersih. Selepas menyusu, bersihkan puting dan tukar coli serta pad penyusuan apabila perlu.
Pakai pakaian yang selesa: Pilih pakaian yang longgar dan diperbuat daripada fabrik yang mudah menyerap peluh.
Minum air secukupnya: Kekal terhidrat boleh membantu mengurangkan bau badan yang kuat.
Perhatikan pemakanan: Makanan seperti bawang putih, bawang merah dan rempah tertentu boleh menyebabkan bau badan menjadi lebih kuat.
Gunakan deodoran tanpa pewangi: Deodoran membantu menutup bau, manakala antipeluh mengurangkan pengeluaran peluh. Pilih produk tanpa pewangi, terutama jika menyusukan bayi, dan elakkan menyapunya terus pada payudara.
Kekal aktif: Selepas mendapat kebenaran doktor untuk bersenam, aktiviti fizikal secara konsisten boleh membantu mengawal pengeluaran peluh dan mengurangkan perubahan bau akibat hormon.
Malangnya, tiada cara untuk menghalang bau badan selepas bersalin sepenuhnya kerana ia berpunca daripada perubahan hormon dan biologi yang normal selepas kehamilan dan melahirkan anak.
Namun, bau tersebut boleh dikawal dengan menjaga kebersihan diri, memakai pakaian yang longgar dan selesa serta mengamalkan pemakanan seimbang. Menurut Hack, langkah-langkah mudah ini boleh membantu mengurangkan bau badan.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan