Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pernah tak buka aplikasi shopping sekadar nak tengok-tengok, tetapi 20 minit kemudian dah ada beberapa barang dalam cart? Tanpa sedar, kita mungkin membeli secara impulsif walaupun pada awalnya langsung tak ada niat nak membeli.
Perasaan seronok ketika mencari barang, jumpa diskaun atau melihat tulisan “sale” memang boleh buat kita rasa puas. Tapi, rasa seronok itu biasanya sekejap sahaja. Selepas barang sampai, barulah rasa menyesal sebab duit dah habis pada sesuatu yang sebenarnya tak diperlukan.
Tapi, tahu tak ada trend baharu di internet yang menawarkan pengalaman shopping secara maya menerusi laman web palsu, membolehkan pengguna “membeli” barang tanpa mengeluarkan duit sebenar?
Beberapa laman seperti Dopamine Cart, DopaHaul dan Food Never Comes direka seperti laman shopping atau aplikasi penghantaran makanan sebenar.
Pengguna boleh scroll produk, masukkan barang ke dalam cart, gunakan kod diskaun dan melalui proses checkout. Bezanya, duit tak akan ditolak dan barang juga tak akan sampai.
Konsep ini menarik kerana sesetengah orang sebenarnya lebih menikmati proses mencari dan memilih barang berbanding barang itu sendiri.
Namun, ada satu masalah.
Menurut pakar psikiatri Stanford University, Dr Anna Lembke, aktiviti sebegini masih boleh mengaktifkan sistem ganjaran dalam otak kerana kita teruja dengan sesuatu yang dijangka memberikan kepuasan.
Dalam erti kata lain, walaupun barang itu palsu, tabiat mencari “barang untuk dibeli” masih boleh menguatkan kitaran yang sama.
Sebab itu, jika anda sedang cuba mengurangkan tabiat shopping berlebihan, mungkin lebih baik untuk tidak menggantikannya dengan shopping palsu. Sebaliknya, cuba beberapa cara ini.
Nampak sesuatu yang menarik? Jangan terus checkout.
Masukkan ke dalam cart dan tunggu sekurang-kurangnya 24 jam. Kemudian, tanya diri:
“Aku masih nak benda ini atau aku cuma teruja sebab baru nampak?”
Kalau sudah tak kisah selepas sehari, besar kemungkinan anda memang tak memerlukannya. Untuk barang mahal, panjangkan tempoh menunggu kepada beberapa hari atau seminggu.
Notifikasi seperti “Flash Sale bermula sekarang!” atau “Tinggal 2 unit sahaja!” boleh membuatkan kita bertindak dengan cepat.
Matikan notifikasi aplikasi e-dagang atau padam aplikasi tersebut buat sementara waktu.
Kalau nak membeli sesuatu, anda masih boleh buka laman web secara manual. Sekurang-kurangnya, “jemputan” untuk berbelanja tak datang berkali-kali sepanjang hari.
Bila maklumat pembayaran sudah tersimpan, proses membeli jadi terlalu mudah.
Cuba keluarkan maklumat pembayaran dan hanya masukkan nombor kad secara manual. Beberapa saat tambahan untuk berfikir mungkin cukup untuk menghalang pembelian yang tidak diperlukan.
Sebelum membeli, tanya diri sama ada barang itu perlu atau sekadar nak.
Tak salah membeli benda yang kita mahu. Masalahnya apabila shopping menjadi cara utama untuk menghilangkan rasa bosan, stres atau sedih.
Mungkin bukan handbag baharu yang anda perlukan. Mungkin anda sebenarnya cuma perlukan rehat.
Kalau shopping menjadi cara menghilangkan bosan, gantikan tabiat itu dengan aktiviti lain seperti brisk walk sambil dengar podcast, kemas bilik, baca buku atau bersenam.
Kuncinya, jangan sekadar cakap anda tak boleh shopping. Cari sesuatu untuk dilakukan apabila tangan mula gatal nak buka aplikasi shopping.
Cuba perhatikan bila keinginan untuk shopping paling kuat. Adakah ketika bosan, stres selepas kerja atau apabila nak reward diri sendiri?
Anda juga boleh catat setiap pembelian selama sebulan, termasuk apa yang anda rasa sebelum membeli.
Lama-kelamaan, corak itu mungkin mula kelihatan.
Jika shopping sudah menyebabkan masalah kewangan, hutang, konflik atau sukar dikawal walaupun sudah cuba berhenti, jangan anggap ia sekadar “boros”. Mendapatkan bantuan profesional mungkin lebih sesuai.
Tak salah nak beli barang yang kita suka. Masalahnya apabila membeli menjadi tindak balas automatik setiap kali kita rasa bosan, sedih atau tertekan.
Jadi, sebelum tekan “Pay Now”, beri diri sendiri sedikit masa dan tanya:
“Aku memang perlukan barang ini atau aku cuma nak rasa seronok sekejap?”
Kalau jawapannya yang kedua, tutup aplikasi dulu.
Kalau esok masih teringat, barulah fikir semula. Sebab kadang-kadang, barang yang rasa “wajib beli” hari ini langsung tak kita ingat seminggu kemudian.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan