Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bagi kebanyakan orang, menonton wayang sudah sinonim dengan suasana pusat beli-belah.
Masuk sahaja ke shopping mall, cari restoran, singgah kedai sebelum akhirnya naik ke tingkat pawagam untuk menonton filem pilihan.
Namun, pernahkah terlintas di fikiran kenapa pawagam hampir selalu menjadi sebahagian daripada sebuah pusat beli-belah?
Adakah ia sekadar kebetulan, atau sebenarnya terdapat sebab tertentu mengapa kedua-duanya begitu sinonim sejak sekian lama?
Persoalan itu baru-baru ini menarik perhatian warga maya selepas seorang pengguna Threads, @frwahie_, melontarkan satu persoalan yang mungkin pernah terlintas di fikiran ramai.
“Kenapa cinema mesti dibina dalam mall, ek? Kenapa tak bina je secara sendiri di luar?
“Nak pergi tengok wayang pun kena cari parking dulu, naik lif, kemudian merentas segala outlet kedai dalam mall tu sebelum sampai ke cinema yang kadang-kadang terasa macam dekat hujung dunia,” katanya.
Perkongsian itu telah membuka ruang untuk netizen menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.
Menjengah ke ruangan komen, ada warga maya berpendapat cinema pada suatu ketika dahulu sememangnya banyak dibina di bangunan tersendiri dan tidak semestinya berada dalam pusat beli-belah.
Namun, perubahan corak kehidupan dan tabiat pengguna dipercayai menyebabkan konsep tersebut semakin kurang mendapat sambutan, sekali gus mendorong banyak pawagam beralih ke pusat beli-belah yang mempunyai aliran pengunjung lebih tinggi.

Seorang pengguna pula berpendapat perubahan itu mungkin berlaku kerana pengalaman menunggu untuk menonton wayang kini boleh diisi dengan aktiviti lain.
Katanya, kewujudan pawagam dalam pusat beli-belah membolehkan pengunjung menghabiskan masa dengan membeli-belah, makan atau sekadar berjalan-jalan sementara menunggu waktu tayangan.
Malah, ada kalanya seseorang yang pada asalnya tidak merancang untuk menonton wayang boleh berubah fikiran selepas ternampak pawagam ketika sedang berjalan di dalam pusat beli-belah.
Ada juga warga maya yang melihat perkara itu dari sudut perniagaan.
Menurutnya, cinema yang berdiri sendiri memerlukan pengusaha menanggung pelbagai kos termasuk penyelenggaraan bangunan serta kawasan parkir yang luas.
Dalam masa sama, jualan makanan dan minuman pula lebih banyak bergantung kepada pengunjung yang datang untuk menonton wayang.

Berbeza apabila cinema ditempatkan dalam pusat beli-belah.
Kos berkaitan kawasan parkir boleh dikongsi dalam operasi pusat beli-belah, manakala pengunjung pawagam turut berpotensi membeli makanan, minuman atau barangan lain walaupun tidak menonton filem.
Malah, cinema juga boleh menjual barangan seperti cenderamata dan merchandise, sekali gus membuka ruang kepada sumber pendapatan tambahan.
Dalam pada itu, seorang warga maya turut berkongsi pengalaman sebuah pawagam yang pernah beroperasi secara bersendirian, iaitu My Cinema di Banting, yang kini sudah tidak lagi beroperasi.
Menurut perkongsian itu, pawagam berkenaan mempunyai beberapa kelebihan seperti kawasan parkir yang luas, kemudahan yang baik, tidak terlalu sesak, tidak memerlukan pengunjung berjalan jauh dan hanya mempunyai satu tingkat.

Namun, semua kelebihan tersebut masih tidak menjamin kelangsungan operasi apabila pawagam itu akhirnya ditutup.
“Kadang-kadang apa yang kita rasa bagus, benda tu dah pernah dibuat atau dah pernah terjadi, yang mana akhirnya mendatangkan kerugian,” katanya.
Dari sudut perniagaan pula, seorang pengguna menjelaskan bahawa faktor utama mungkin berkait rapat dengan aliran pengunjung atau foot traffic.
Katanya, bagi sesebuah francais, membuka pawagam di pusat beli-belah memberikan akses kepada jumlah pengunjung yang sedia ada berbanding perlu membina bangunan sendiri dan berusaha menarik orang ramai ke lokasi tersebut.
Dalam masa sama, pawagam juga mempunyai fungsi penting kepada pusat beli-belah sebagai ‘anchor tenant’, iaitu premis utama yang mampu menarik pengunjung datang.
Sebab itu, tidak hairanlah pawagam sering ditempatkan di tingkat tertentu dalam sesebuah pusat beli-belah, manakala premis seperti pasar raya pula biasanya berada di tingkat bawah.

Strategi tersebut secara tidak langsung mendorong pengunjung bergerak melalui lebih banyak ruang dalam pusat beli-belah sebelum sampai ke pawagam, sekali gus membuka peluang kepada kedai-kedai lain untuk mendapat kunjungan.
Jadi, walaupun pada pandangan pertama nampak seperti menyusahkan apabila perlu mencari parkir, naik lif dan berjalan jauh sebelum sampai ke pawagam, rupanya ada sebab dari sudut perniagaan mengapa konsep tersebut terus menjadi pilihan.
Daripada soal keselesaan penonton sehinggalah kepada kos operasi dan strategi pusat beli-belah, lokasi pawagam sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan satu perkara utama iaitu bagaimana untuk memastikan lebih ramai orang datang dan lebih banyak perniagaan dapat dijana.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan