Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bagaimana Bunga Api Berubah Daripada Letupan Buluh Kepada Pertunjukan Cahaya?

LETUPAN
Gambar hiasan bunga api. Kredit: vietjetair

Setiap kali bunga api menerangi langit dengan letupan warna-warni, ramai mungkin melihatnya sekadar sebagai hiburan yang menceriakan sesuatu acara.

Namun, di sebalik percikan cahaya dan bunyi dentuman itu, tersimpan sejarah yang panjang, ia bermula daripada buluh yang menghasilkan bunyi letupan kecil di China purba sehingga berkembang menjadi pertunjukan pyroteknik berskala besar seperti yang dikenali hari ini.

Lebih menarik, teknologi di sebalik bunga api turut berkait rapat dengan perkembangan serbuk letupan, teknologi ketenteraan dan penemuan bahan kimia yang menghasilkan pelbagai warna.

1. Bermula Dengan Buluh Yang ‘Meletup’

Sejarah bunga api dipercayai bermula sekitar abad kedua Sebelum Masihi di China.

Ketika itu, buluh yang dicampakkan ke dalam api akan menghasilkan bunyi “pop” apabila udara di dalam rongganya dipanaskan.

Bunyi letupan kecil tersebut kemudiannya menjadi asas kepada perkembangan bunga api pada zaman berikutnya.

Antara abad keenam hingga kesembilan Masihi, campuran kalium nitrat, sulfur dan arang dengan bahan asas serbuk letupan, mula dimasukkan ke dalam buluh atau tiub kertas.

Apabila dinyalakan, campuran itu menghasilkan letupan yang lebih kuat.

Kredit: theweathernetwork

2. Serbuk Letupan Mengubah Segalanya

Menurut sumber, serbuk letupan dipercayai ditemui secara tidak sengaja oleh ahli alkimia China yang sedang mencari ramuan untuk menghasilkan penawar kehidupan kekal.

Campuran berkenaan sebaliknya menghasilkan bahan yang mudah terbakar dan meletup.

Apabila dimasukkan ke dalam buluh atau tiub kertas, ia menghasilkan letupan yang kemudiannya berkembang menjadi bentuk awal bunga api.

Pada peringkat awal, bunga api tidak menghasilkan paparan warna-warni seperti hari ini.

Sebaliknya, ia lebih kepada letupan di permukaan tanah dan digunakan dalam pelbagai acara serta ritual masyarakat ketika itu.

3. Dari China, Bunga Api Sampai Ke Eropah

Penggunaan serbuk letupan kemudiannya berkembang dan tersebar ke dunia Barat menerusi hubungan perdagangan.

Menjelang abad ke-15, campuran berasaskan serbuk letupan mula digunakan masyarakat Eropah untuk pelbagai sambutan.

Perkembangan teknologi turut mengubah bunga api daripada sekadar bunyi letupan kepada pertunjukan yang boleh dilihat di langit.

4. Kenapa Bunga Api Ada Banyak Warna?

Rahsianya terletak pada bahan logam yang digunakan dalam bunga api.

Bunga api moden mempunyai komponen yang dikenali sebagai “stars”, iaitu bebola kecil yang mengandungi bahan kimia tertentu.

Apabila terbakar, bahan tersebut menghasilkan warna berbeza.

Contohnya, magnesium menghasilkan cahaya putih, tembaga menghasilkan warna biru manakala natrium menghasilkan warna keemasan.

Susunan “stars” di dalam cangkerang bunga api pula menentukan bentuk dan corak yang muncul selepas letupan.

5. Warna Boleh Berubah Di Tengah Udara

Pernah melihat bunga api yang bertukar warna selepas meletup?

Ia bukan sekadar kesan visual.

“Stars” dalam bunga api boleh disalut dengan beberapa lapisan garam logam.

Apabila lapisan luar terbakar, lapisan seterusnya pula menyala dan menghasilkan warna berbeza.

Sebab itu sesetengah bunga api kelihatan seolah-olah berubah warna ketika sedang jatuh dari langit.

6. Bukan Semua Bunga Api Terbang Ke Langit

Bunga api juga hadir dalam pelbagai bentuk.

Ada jenis berbentuk pancutan yang kekal di atas tanah dan mengeluarkan percikan api dari tiub.

Ada juga Catherine wheels, iaitu susunan pancutan berbentuk bulatan yang akan berpusing apabila dinyalakan.

Sementara itu, sparkler pula menggunakan dawai yang disalut bahan logam dan campuran tertentu untuk menghasilkan percikan cahaya.

7. Perkataan ‘Fireworks’ Ada Sejarahnya Sendiri

Istilah “fireworks” pada asalnya mempunyai kaitan dengan bahan letupan ketenteraan.

Menurut sumber, perkataan berkenaan mula digunakan dalam bahasa Inggeris sekitar abad ke-16 bagi merujuk kepada bahan letupan.

Namun, penggunaannya kemudian berkembang apabila serbuk letupan turut digunakan untuk tujuan hiburan dan sambutan.

Menjelang abad ke-17, pertunjukan bunga api semakin dikenali dan perkataan “fireworks” mula membawa maksud sesuatu yang spektakular serta mengagumkan.

8. Pernah Ada Pertunjukan Bunga Api Meletup Serentak

Pada 2012, pertunjukan bunga api Big Bay Boom di San Diego, California sepatutnya berlangsung selama kira-kira 18 minit.

Namun, akibat masalah komputer, keseluruhan pertunjukan itu tercetus hampir serentak dan selesai dalam hanya sekitar 15 saat.

Kesilapan tersebut menjadikan pertunjukan berkenaan antara insiden bunga api yang paling diingati.

9. Bunga Api Lebih Dua Tan Pecahkan Rekod Dunia

Pada Februari 2020, sebuah bunga api udara seberat 2,797 paun atau kira-kira 1,269 kilogram dilancarkan di Steamboat Springs, Colorado.

Beratnya hampir menyamai sebuah kereta sedan empat pintu.

Bunga api gergasi itu dilancarkan menggunakan tiub pada kelajuan kira-kira 300 batu sejam sebelum meletup di udara dan mencatatkan rekod dunia Guinness.

Daripada Letupan Kecil Kepada Pertunjukan Gergasi

Daripada buluh yang menghasilkan bunyi “pop” ribuan tahun lalu, bunga api kini berkembang menjadi sebahagian daripada pertunjukan besar di seluruh dunia.

Perkembangannya juga memperlihatkan bagaimana pengetahuan manusia mengenai serbuk letupan, bahan kimia dan teknologi dapat mengubah sesuatu penemuan awal kepada bentuk hiburan yang jauh lebih kompleks.

Menariknya, bunga api yang dilihat selama beberapa saat di langit hari ini sebenarnya melalui sejarah panjang sebelum mencapai bentuknya seperti sekarang.

Intipati
  • Bunga api dipercayai bermula di China purba melalui buluh yang meletup apabila dipanaskan.
  • Serbuk letupan mengubah bunga api daripada bunyi kecil kepada letupan lebih kuat dan terancang.
  • Bahan logam dalam “stars” menghasilkan warna, manakala susunannya menentukan corak letupan di udara.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan