Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bang Mat Tuai Tilapia Kali Kelima, Jamu Duta Tiga Negara Di Kediaman

TILAPIA
Tangkap layar video Facebook Mohamad Sabu

Bang Mat Tuai Tilapia Kali Kelima, Jamu Duta Tiga Negara Di Kediaman

Hasil ternakan ikan tilapia di kediaman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, sekali lagi menjadi perhatian apabila beliau meraikan tuaian kelima bersama tetamu diplomatik dari tiga negara.

Mohamad, yang lebih mesra disapa Bang Mat, berkata tuaian kali ini lebih bermakna apabila Duta Rusia, Duta Iran dan Duta Uzbekistan berkunjung ke kediamannya untuk menikmati ikan tilapia segar yang diternak sendiri.

“Hari ini Bang Mat tuai ikan tilapia yang diternak di rumah buat kali kelima. Pejam celik, dah lima kali tuai. Alhamdulillah, syukur dengan rezeki yang Allah SWT berikan.

“Kali ini lebih istimewa sebab Bang Mat menerima kunjungan Duta Rusia, Duta Iran dan Duta Uzbekistan ke rumah untuk sama-sama menikmati hasil tuaian ikan tilapia segar,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook.

Menurut beliau, amalan berkongsi rezeki sambil menikmati juadah bersama merupakan antara cara terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim.

Katanya, sebelum para tetamu berangkat pulang, beliau turut menghadiahkan ikan tilapia segar kepada mereka sebagai tanda penghargaan.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak, bersama warga kementerian yang sama-sama memeriahkan acara tuaian berkenaan.

Mohamad berkata, beliau berharap hubungan yang terjalin melalui pertemuan itu akan terus diperkukuhkan, sekali gus membuka lebih banyak ruang kerjasama dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

“Semoga silaturahim yang terjalin ini akan terus berkekalan dan membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang pertanian serta keterjaminan makanan,” ujarnya.