Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bangunan Kediaman Tanpa Kelulusan Di Hulu Langat Akan Diroboh Ikut Undang-Undang

Sofea
Bangunan Kediaman Tanpa Kelulusan

Bangunan Kediaman Tanpa Kelulusan Di Hulu Langat Akan Diroboh Ikut Undang-Undang

Tindakan perobohan bangunan kediaman bertingkat tanpa kelulusan di Sungai Makau, Hulu Langat, akan dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuatkuasa.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat dalam satu kenyataan pada Rabu.

"PDT Hulu Langat bersama semua agensi penguatkuasaan daerah sentoasa komited dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan berlandaskan lunas undang-undang yang berkuat kuasa," kata Pegawai Daerah Hulu Langat.

Dalam kenyataan yang sama, Pegawai Daerah Hulu Langat menjelaskan bahawa struktur bangunan kediaman bertingkat tersebut berada di sebahagian besar atas lot tanah hak milik individu yang mempunyai syarat nyata bagi rumah kediaman di Mukim Ulu Langat dan sebahagian kecil berada di atas rizab jalan.

"Terdapat beberapa struktur bangunan kediaman yang didirikan secara tidak sah dan pernah didiami oleh penduduk Etnik Rohingya di atas lot tersebut serta lot bersebelahan yang merupakan rizab sungai.

"Untuk rekod, PDT Hulu Langat telah mengeluarkan Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah selaras dengan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) kepada pemilik-pemilik struktur kediaman tersebut pada tahun 2017, 2020, 2021 dan terkini pada 13 Mac 2025.

"Satu tindakan perobohan melalui operasi bersepadu juga telah dilaksanakan pada tahun 2017 oleh PDT Hulu Langat bersama-sama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya.

Menurutnya lagi, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) juga telah mengeluarkan notis dan tawaran kompaun di bawah kesalahan Seksyen 70(1) dengan arahan di bawah Seksyen 72(1)(b)(c) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 pada tahun 2016, 2017, 2019 dan 2021 kerana telah mendirikan sesuatu binaan bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada pihak MPKj.

Selain itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pula telah membuka kertas siasatan pada tahun 2025 di bawah Seksyen 43(4) dan Seksyen 70(3) Enakmen LUAS 1999 bagi pengesyoran tindakan pengkompaunan kesalahan kepada pihak yang bertanggungjawab mendirikan struktur tanpa kebenaran.

"Sekiranya disabitkan kesalahan, pihak tersebut boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor juga telah menyertai operasi bersama PDRM (OPS Kutip) dari Ibu Pejabat Daerah Kajang pada 28 Februari 2025 dan telah menahan dan menangkap seramai 42 orang warga asing yang disyaki dan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," ujarnya lagi.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai binaan kediaman atau flat di kawasan itu yang tidak mempunyai kelulusan.