Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bangunan Tanpa Kebenaran Merancang Menyalahi Undang-Undang - Nga

Bangunan Tanpa Kebenaran Merancang
Kredit: Bernama

Bangunan Tanpa Kebenaran Merancang Menyalahi Undang-Undang - Nga

IPOH, 13 Jun (Bernama) -- Kerajaan tidak berkompromi terhadap pembinaan bangunan tanpa kebenaran merancang (KM) kerana tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah berisiko mewujudkan penempatan haram.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata dasar kerajaan berhubung perkara itu adalah jelas, iaitu mana-mana bangunan yang dibina tanpa kelulusan tidak dibenarkan menerima sambungan bekalan air dan elektrik bagi mengelakkan ia diduduki.

Beliau berkata langkah berkenaan adalah antara mekanisme paling berkesan untuk membendung kewujudan penempatan haram, termasuk yang dikaitkan dengan warga asing seperti etnik Rohingya.

“Soal pelarian Rohingya adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen, mereka ada pemeriksaan dan penguatkuasaan secara berkala dan berjadual.

“Tetapi dasar kerajaan sangat jelas, sesiapa sahaja pendatang perlu dapat izin daripada kerajaan sama ada atas sifat kemanusiaan ataupun sebagai pelarian, refugee, kesemuanya itu perlu dan wajib mendapat kebenaran,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke kaunter bergerak ‘Wang Tak Dituntut’ di sini hari ini.

Beliau mengulas isu berkaitan pembinaan bangunan empat tingkat secara tidak sah oleh komuniti Rohingya di kawasan terpencil di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.

Dalam pada itu, Nga berkata kerajaan telah membatalkan 26,108 lesen perniagaan dikendalikan warga asing, menerusi 4,000 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negara hingga Mei tahun ini.

“Saya bagi contoh, dasar kerajaan sangat jelas, iaitu kita tidak benarkan warga asing berniaga, lesen tidak boleh dikeluarkan, mereka hanya boleh jadi pekerja tak boleh jadi tauke ataupun hak milik.

“Sebab itu, hari ini saya nak umumkan, sejak Kerajaan MADANI diberikan amanah dan tanggungjawab menjaga negara ini, saya telah arahkan PBT di seluruh negara untuk menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran pendatang tanpa izin atau sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.

Sementara itu berkenaan lawatannya ke kaunter bergerak ‘Wang Tak Dituntut’ di Kinta Heights, Nga berkata kempen itu adalah bagi membantu memudahkan rakyat menuntut semula wang mereka, yang tidak dituntut.

"Jabatan Akauntan Negara telah memaklumkan kepada saya, jumlah duit yang sedang boleh dituntut berjumlah RM13 bilion. Duit itu senang sahaja boleh dituntut, sebab itu Pusat Khidmat Kepayang kita telah pun mulakan kempen ini di Perak.

"Setiap warganegara, senang sahaja prosesnya, datang bawa kad pengenalan dan juga penyata akaun. Mana-mana penyata bank dan juga akaun, serta salinan kad pengenalan cukup, itu sahaja dokumen diperlukan," katanya.

Nga berkata kempen itu dilakukan seiring dengan Seksyen 13 (1) Akta Wang Tak Dituntut 1965 iaitu apabila sejumlah wang yang tidak disentuh melebihi tujuh tahun, wang itu akan terus masuk ke akaun wang tidak dituntut dan diuruskan Jabatan Akauntan Negara.

"Duit itu memang duit anda, cuma orang tak tahu, tak pergi tuntut dan jumlahnya sangat besar, selain (wang tidak dituntut) sebenarnya tiada faedah jika kita simpan di akaun wang tidak dituntut.

"Mulai minggu ini kita akan lancarkan kempen ini, dan bermula dari (kawasan) DUN (Dewan Undangan Negeri) Kepayang dan semua wakil rakyat Pakatan Harapan akan turun padang ke setiap kawasan DUN di Perak," katanya.