Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Banjir Kilat Mengejutkan Di Texas Adalah Mengerikan – Trump
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan insiden banjir kilat yang mengejutkan di Texas sebagai satu tragedi yang mengerikan selepas ia meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa dan menyebabkan ramai kanak-kanak dilaporkan hilang.
“Ia satu bencana. Banjir ini sungguh mengejutkan,” kata Trump kepada media malam Jumaat.
Menurut pihak berkuasa pada Jumaat, jumlah kematian akibat banjir kilat yang melanda kawasan selatan-tengah Texas meningkat kepada 24 orang. Manakala, operasi mencari lebih 20 orang kanak-kanak perempuan dari sebuah kem musim panas masih diteruskan.
“Saat ini, jumlah korban berada sekitar 24 orang,” kata Sheriff Daerah Kerr, Larry Leitha dalam sidang media malam Jumaat sambil memaklumkan pasukan penyelamat masih giat mencari mangsa yang terperangkap di kawasan barat laut San Antonio.
Menurut Leitha, sebahagian daripada mangsa yang maut adalah kanak-kanak.
Sementara itu, Timbalan Gabenor Texas, Dan Patrick memaklumkan terdapat beberapa kanak-kanak yang masih belum ditemui, dengan jumlah antara 23 hingga 25 orang masih hilang setakat ini.
Difahamkan, kira-kira 23 daripada mangsa yang hilang merupakan peserta kem musim panas Camp Mystic yang terletak di tebing Sungai Guadalupe.
Sungai tersebut dilaporkan naik mendadak setinggi 8 meter dalam masa 45 minit selepas hujan lebat pada malam sebelumnya.
Ketika kejadian, seramai 750 kanak-kanak sedang menyertai kem tersebut.
“Itu tidak bermakna mereka telah lemas. Mereka mungkin berlindung di atas pokok atau berada di lokasi yang tidak mempunyai liputan komunikasi,” jelas Dan Patrick.
Di sisi lain, Gabenor Texas, Greg Abbott pula mengisytiharkan perintah darurat bagi mempercepat penyaluran sumber dan bantuan ke daerah-daerah terjejas.
Usaha menyelamat kini dijalankan secara besar-besaran melibatkan lebih 500 anggota penyelamat dan 14 helikopter.
Menurut Mejar Jeneral Thomas Suelzer dari tentera Texas, sekurang-kurangnya 237 orang telah berjaya diselamatkan atau dipindahkan, termasuk 167 mangsa yang diselamatkan menggunakan helikopter.
Pengarah Jabatan Keselamatan Awam Texas, Freeman Martin berkata, keadaan cuaca pada awal pagi menyukarkan pasukan penyelamat untuk memasuki kawasan banjir.
Namun, keadaan bertambah baik menjelang tengah hari dan lebih ramai mangsa berjaya diselamatkan.
“Kami akan teruskan usaha ini esok. Ini merupakan satu insiden korban besar-besaran,” katanya.
Laporan media tempatan menyebut beberapa trak telah dihantar ke Camp Mystic untuk memindahkan mangsa yang terkandas.
Dalam masa yang sama, pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk agar tidak memasuki kawasan yang terjejas, termasuk tapak-tapak perkhemahan di sepanjang sungai, kerana banyak jalan yang tidak boleh dilalui.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan rumah dan pokok dihanyutkan oleh arus deras banjir kilat yang berlaku selepas hujan lebat hingga 12 inci, bersamaan sepertiga daripada jumlah purata hujan tahunan daerah Kerr.
Gabenor Abbott turut berkongsi video di platform X yang menunjukkan seorang mangsa diselamatkan dari atas pokok oleh anggota penyelamat yang digantung dari helikopter, ketika arus deras mengganas di bawahnya.
“Misi menyelamat udara ini dijalankan 24 jam. Kami tidak akan berhenti sehingga semua mangsa berjaya dikesan,” katanya.
Pasukan Pengawal Kebangsaan Texas serta Pengawal Pantai AS turut dikerahkan bagi membantu operasi menyelamat.
Pegawai keselamatan awam, Martin turut memberi amaran bahawa satu lagi gelombang bencana dijangka akan melanda daerah-daerah lain di Texas, sambil menegaskan bahawa krisis ini belum berakhir.
Pihak berkuasa di Daerah Kerr sebelum ini memaklumkan bahawa mereka tidak mendapat amaran lebih awal mengenai risiko banjir kilat yang berlaku dari malam Khamis ke pagi Jumaat.
“Kami tidak tahu banjir ini akan berlaku. Ini adalah lembah sungai paling berbahaya di AS,” kata Hakim Daerah Kerr, Rob Kelly merujuk kepada Sungai Guadalupe.
Jabatan Kajicuaca turut mengeluarkan amaran banjir untuk daerah tersebut dan menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai agar segera berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.
BACA: Malaysia, Perancis Ulangi Pendirian Gesa Gencatan Senjata & Bantuan Kemanusiaan Di Gaza
BACA: Arab Saudi Sokong Gencatan Senjata Segera Di Gaza, Negara Palestin Dengan Sempadan 1967
BACA: JAKIM, KDN Perangi Ekstremisme Dalam Kalangan Pekerja Asing – Mohd Na’im
Sumber: AFP