Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Banjir: Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Di Pasir Puteh

Azizah Najib
lelaki maut renjatan elektrik
Kredit: Bernama

Banjir: Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Di Pasir Puteh

KOTA BHARU, 27 November (Bernama) — Seorang lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik selepas kediamannya di Kampung Banir Belikong, Pasir Puteh dinaiki air dalam kejadian banjir awal pagi tadi.

Komander Operasi Bomba Pasir Puteh Mohd Rukiman Ab Rahman berkata kejadian berlaku pada pukul 4.30 pagi semasa Tuan Mohd Zakaria Tuan Ismail, 33, dipercayai cuba menanggalkan plug mesin basuh yang berada di belakang rumahnya selepas kediamannya dinaiki air kira-kira satu meter.

“Arwah yang dalam keadaan basah telah terkena renjatan elektrik, sebelum jatuh dan dihanyutkan arus banjir, masuk ke dalam sungai di belakang rumahnya,” katanya ketika dihubungi.

BACA: Banjir Makin Memburuk Di Kelantan, Beberapa Kawasan Dilapor Terjejas

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.55 pagi tadi, dan tiba di lokasi kejadian kira-kira tiga minit kemudian.

Rukiman berkata mayat Tuan Mohd Zakaria ditemukan tersangkut pada sebatang pokok di tepi sungai berhampiran rumahnya pada 5.30 pagi, dan telah dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat.

Sementara itu abang mangsa Tuan Muhammad Tuan Ismail, 38, berkata kejadian berlaku selepas beliau bersama adiknya itu pulang daripada meninjau kawasan banjir di sekitar Kampung Bukit Abal.

“Saya bersama seorang lagi adik bergegas ke rumahnya untuk mencari dia, namun paras air yang agak dalam dan deras menyebabkan kami gagal menemuinya, sehinggalah bomba datang,” katanya.

BACA: 5 Negeri, 2 Wilayah Dijangka Alami Hujan Lebat Pagi Ini

BACA: Sah Ke Solat Jika Pakaian Berlumpur & Dibasahi Air Banjir, Ini Jawapan Dr Zulkifli

Sumber: Bernama