Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Banjir Nepal: Angka Kematian Cecah 1,204, Lebih 4,200 Masih Hilang

NEPAL
Kredit: AFP

Angka kematian akibat banjir besar yang melanda Nepal meningkat kepada 1,204 orang, manakala 4,216 lagi masih hilang, ketika pasukan penyelamat terus bertungkus-lumus mencari mangsa yang dipercayai terperangkap di dalam terowong dan loji jana kuasa bawah tanah.

Pihak berkuasa Nepal berkata, operasi mencari dan menyelamat berdepan cabaran besar susulan hujan berterusan serta timbunan serpihan yang menutupi kawasan terowong di sepanjang sungai Bhotekoshi dan Trishuli.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal, lebih banyak mayat ditemukan di lapan daerah yang terjejas, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 1,204 orang.

Daripada jumlah tersebut, pasukan keselamatan menemukan 348 mayat di Chitawan, 217 di Nawalparasi East, 202 di Nawalparasi West, 155 di Nuwakot, 115 di Rasuwa, 69 di Gorkha, 60 di Dhading dan 38 di Tanahu.

Daripada 4,216 individu yang masih hilang, 583 merupakan warga asing.

Setakat ini, pasukan keselamatan termasuk Tentera Nepal telah menyelamatkan 11,993 orang menggunakan helikopter dan laluan darat, manakala kira-kira 21,314 anggota keselamatan dikerahkan bagi operasi mencari dan menyelamat.

Banjir besar itu berlaku selepas runtuhan ais dan batu berhampiran sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu, mengakibatkan kemusnahan besar di kawasan utara dan tengah Nepal serta menyebabkan ribuan penduduk hilang.

947 Pekerja Projek Hidro Masih Belum Dapat Dikesan

Sementara itu, operasi mencari pekerja projek hidroelektrik yang dipercayai terperangkap di dalam terowong dan loji bawah tanah masih diteruskan.

Data Independent Power Producers' Association, Nepal (IPPAN) yang dikeluarkan Selasa lalu menunjukkan 947 pekerja daripada pelbagai projek hidroelektrik masih belum dapat dikesan.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan jumlah yang masih terperangkap di dalam terowong atau loji bawah tanah berbanding mereka yang dihanyutkan arus banjir.

Antara yang masih hilang ialah lebih 557 orang dari Projek Hidroelektrik Upper Trishuli-1 berkapasiti 216 megawatt.

Di Projek Upper Trishuli-3A, seramai 42 orang dipercayai terperangkap di dalam loji jana kuasa bawah tanah, manakala 191 orang masih belum dapat dikesan di Projek Upper Trishuli-3B.

Selain itu, 93 orang dilaporkan hilang dari Projek Hidroelektrik Rasuwagadhi dan 41 lagi dikhuatiri terperangkap di Projek Langtang Khola.

Bekas Presiden IPPAN, Ganesh Karki berkata, operasi menyelamat turut terjejas akibat kesukaran membawa masuk peralatan, selain pasukan penyelamat menghadapi masalah untuk mengenal pasti lokasi pintu masuk terowong yang telah ditimbus serpihan.

“Material yang dibawa oleh sungai telah sampai ke atas terowong,” katanya seperti dipetik The Kathmandu Post.

Nepal Kaitkan Bencana Dengan Perubahan Iklim

Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah pula menggesa komuniti antarabangsa memberi perhatian serius terhadap kaitan antara bencana berkenaan dengan perubahan iklim.

Ketika berucap di Dewan Perwakilan, beliau berkata kejadian banjir besar itu menunjukkan peningkatan risiko yang dihadapi penduduk di kawasan pergunungan Himalaya akibat perubahan iklim.

Menurutnya, komuniti antarabangsa perlu diberi gambaran jelas mengenai hubungan antara bencana tersebut dengan perubahan iklim memandangkan kesannya turut berkait dengan tindakan global.

Dalam pada itu, proses bedah siasat dan pengenalpastian secara sah telah diselesaikan terhadap 1,113 mayat, manakala 95 telah diserahkan kepada waris.

Maklumat mengenai 911 mayat yang masih belum dikenal pasti turut dimuat naik di laman sesawang Polis Nepal bagi membantu keluarga mencari saudara mereka yang hilang.

Sebahagian keluarga mangsa yang masih hilang turut mengadakan upacara pengebumian simbolik, termasuk puluhan upacara yang dilakukan secara beramai-ramai di Pashupati Aryaghat pada Rabu.

Hujan Berterusan Jejas Operasi Menyelamat

Keadaan cuaca turut menyukarkan operasi mencari dan menyelamat, khususnya di Rasuwa dan Nuwakot.

Jabatan Hidrologi dan Meteorologi Nepal meramalkan hujan sederhana di kawasan terjejas termasuk Rasuwa, Nuwakot dan Dhading pada petang Rabu.

Sebanyak 60.2 milimeter hujan direkodkan di Nosyam Pati, Sindhupalchok dalam tempoh 12 jam, sekali gus menjadi jumlah tertinggi bagi tempoh berkenaan.

Hujan lebat turut berpotensi berlaku di beberapa kawasan pergunungan di wilayah Koshi, Bagmati dan Gandaki pada malam Rabu.

Di Tibet pula, pegawai China memaklumkan angka kematian akibat banjir di daerah Gyirong berhampiran sempadan Nepal meningkat kepada 21 orang, manakala 541 lagi masih hilang.

Hampir 100 warga China yang berada di Nepal juga masih belum dapat dikesan, menurut jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun.

Shah berkata Nepal tidak menolak bantuan antarabangsa susulan skala bencana yang berlaku, dengan beberapa negara termasuk India, Pakistan, China, Bangladesh, Sri Lanka, Amerika Syarikat, Australia, Qatar, Switzerland, United Kingdom, Jepun dan Singapura telah menghulurkan bantuan.

Rakan pembangunan antarabangsa termasuk Bank Pembangunan Asia, Bank Dunia, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut menjanjikan sokongan, manakala pasukan pakar dari India, China dan Korea Selatan digerakkan bagi membantu operasi menyelamat di lokasi projek hidroelektrik.

Bencana itu turut menjejaskan kira-kira 400 megawatt kapasiti tenaga hidro, selain memusnahkan 40 kilometer jalan berturap di kawasan Rasuwa-Nuwakot dan merosakkan 16 kilometer lagi.

Sebanyak 42 jambatan gantung dan 31 jambatan yang boleh dilalui kenderaan turut mengalami kerosakan.

Setakat ini, lebih NPR7 bilion telah dikumpulkan menerusi Dana Bantuan Perdana Menteri Nepal bagi membantu usaha pemulihan dan bantuan kepada mangsa.

Intipati
  • Banjir besar di Nepal meragut 1,204 nyawa, manakala 4,216 orang masih hilang.
  • Seramai 947 pekerja projek hidroelektrik masih belum dikesan, termasuk yang dipercayai terperangkap.
  • Hujan berterusan menyukarkan operasi, sementara beberapa negara dan organisasi antarabangsa menghulurkan bantuan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan