Pasukan penyelamat di Nepal dan China terus bertungkus-lumus mencari ribuan individu yang masih hilang selepas banjir besar membawa arus deras air, ais, lumpur dan serpihan menerjah kawasan pergunungan Himalaya, termasuk menghanyutkan penempatan di beberapa kawasan.
Menurut laporan terkini pihak berkuasa kedua-dua negara, jumlah individu yang masih hilang mencecah hampir 3,000 orang, manakala 691 mayat telah ditemukan.
Bencana yang berlaku di kawasan sempadan China-Nepal pada Rabu lalu dipercayai berpunca daripada keruntuhan glasier yang mencetuskan aliran deras air dan serpihan ke kawasan hilir, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Di Nepal, operasi menyelamat turut difokuskan kepada pekerja yang dipercayai terperangkap di dalam terowong di tapak hidroelektrik Trishuli 3A.
Menteri Dalam Negeri Nepal, Sudan Gurung berkata, pasukan penyelamat berjaya memasukkan paip ke dalam terowong berkenaan dan mula menyalurkan udara melalui bukaan kecil.
Bagaimanapun, usaha itu berdepan cabaran susulan hujan serta paras sungai yang meningkat, menyebabkan pihak berkuasa bencana Nepal menggesa pasukan penyelamat meningkatkan tahap berhati-hati.
Lebih 100 pekerja dipercayai masih hidup dan terperangkap di dalam beberapa terowong, dengan operasi turut tertumpu di tapak hidroelektrik Trishuli 3A dan 3B.
Dalam pada itu, punca sebenar keruntuhan glasier masih belum dapat dipastikan sepenuhnya, namun perubahan iklim yang menyebabkan pencairan glasier di seluruh dunia dikatakan meningkatkan risiko kejadian seumpama itu.
Ketua iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Simon Steill berkata, kejadian keruntuhan glasier dan banjir kilat berkenaan menjadi peringatan mengenai betapa rapuhnya persekitaran pergunungan.
Mangsa menanti khabar ahli keluarga
Sementara itu, keluarga mangsa yang hilang masih menunggu dengan penuh kebimbangan untuk mengetahui nasib insan tersayang, selain berdepan cabaran untuk membina semula kehidupan selepas bencana.
“All the settlements near the river were swept away,” kata seorang mangsa, Buddhi Ram Dangol kepada AFP di daerah Nuwakot, Nepal.
Di sebuah pangkalan tentera di Bidur yang dijadikan pusat operasi menyelamat, waris mangsa dilihat berkumpul di hadapan senarai nama individu yang berjaya diselamatkan.
“Saya datang ke sini mencari anak saya,” kata Kalka Sharda ketika meneliti senarai berkenaan.
Menurut pihak berkuasa bencana Nepal, seramai 933 pekerja sektor hidroelektrik antara individu yang masih hilang, selain 517 warga asing termasuk pendaki serta jemaah yang dalam perjalanan ke Gunung Kailash, Tibet.
Isha Foundation yang diketuai guru dari India, Sadhguru, turut memaklumkan seramai 80 anggotanya berada dalam rombongan ke kawasan berkenaan.
Bantuan antarabangsa mula disalurkan
Dalam pada itu, beberapa negara dan organisasi antarabangsa tampil menawarkan bantuan kemanusiaan kepada Nepal bagi menyokong operasi kecemasan serta usaha pemulihan.
Amerika Syarikat dan Kanada masing-masing menyatakan komitmen bantuan AS$3.6 juta kepada Nepal, manakala United Kingdom menawarkan AS$6.8 juta.
PBB pula menyediakan AS$2.5 juta dalam bentuk pembiayaan kecemasan, sementara Kesatuan Eropah menjanjikan AS$2.3 juta.
Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) turut memperuntukkan dana kecemasan serta melancarkan rayuan kutipan sebanyak AS$31 juta.
Menteri Luar Nepal, Shisir Khanal berkata, kos pembinaan semula susulan bencana itu berpotensi mencecah berbilion dolar.
Beliau turut memohon bantuan khusus termasuk dron berkapasiti angkat berat serta teknologi bagi mengesan individu yang mungkin masih terperangkap.
Khanal turut meminta kit ujian forensik bagi membantu mengenal pasti mayat serta kemudahan penyimpanan mayat berikutan risiko pereputan yang lebih cepat bagi jasad yang terendam dalam air.
Risiko banjir susulan dipantau
Pada masa sama, aliran deras ais dan lumpur membentuk beberapa tasik baharu yang berpotensi mencetuskan banjir susulan.
Menteri Luar China dan Nepal pada Sabtu dilaporkan berbincang mengenai perkongsian data satelit serta hidrologi bagi membantu usaha pemantauan dan tindak balas bencana.
Di Tibet, operasi menyelamat di kawasan paling teruk terjejas di Gyirong sebelum ini dihentikan sementara berikutan kebimbangan terhadap risiko banjir daripada tasik baharu yang terbentuk.
Bagaimanapun, penyiar negara China, CCTV kemudian melaporkan tasik berkenaan mengalir secara semula jadi dan hampir kering sepenuhnya.
Agensi berita Xinhua pula melaporkan seramai 2,141 anggota penyelamat berada berhampiran kawasan Gyirong, termasuk lebih 500 anggota di lokasi paling teruk terjejas.
Setakat Sabtu, Nepal melaporkan 675 kematian, manakala 2,426 individu masih belum dapat dihubungi termasuk ratusan warga asing.
Di Tibet, seramai 16 orang dilaporkan maut dan 546 masih hilang, menurut CCTV.
Pihak berkuasa turut memaklumkan 555 pelancong terkandas serta 499 warga China dari Tibet telah dipindahkan ke lokasi selamat.
Sementara itu, tujuh mayat ditemukan di sungai di India yang mengalir dari Nepal dan dipercayai mangsa banjir dalam tragedi berkenaan.

