Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid untuk sesi persekolahan 2027.
Beliau berkata, seramai 5.3 juta murid layak menerima bantuan berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion.
Menurutnya, keluarga yang mempunyai empat orang anak akan menerima bantuan berjumlah RM800 bagi membuat persiapan persekolahan.
Bantuan itu akan disalurkan di sekolah bagi membolehkan ibu bapa hadir dan bertemu guru sebagai sebahagian daripada tanggungjawab bersama dalam meningkatkan pencapaian akademik serta pembentukan sahsiah anak-anak.
Dalam perkembangan lain, kerajaan turut bersetuju memberikan elaun sara hidup sebanyak RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam, menyamai kadar elaun pelajar matrikulasi. Inisiatif itu akan memanfaatkan 90,000 pelajar.
Selain itu, sebanyak RM870 juta diperuntukkan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang akan memanfaatkan lebih 800,000 murid.
Bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru, pengambilan pembantu guru pula akan diperluas ke 200 sekolah rendah berkepadatan tinggi sebelum ditambah secara berfasa berdasarkan penilaian keberkesanannya.
Pengumuman itu dibuat ketika pembentangan Belanjawan 2027 oleh Anwar hari ini.

