Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi menjaga kebajikan dan kesejahteraan pelajar, khususnya peminjam PTPTN.
Justeru, Bantuan Lestari Siswa MADANI telah diadakan pada 9 Oktober 2026 (Jumaat) bertempat di Dewan Sultan Mizan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus, Terengganu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN.
Turut hadir YBrs. Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UMT, YBrs. Tuan Haji Mohd Riduan Mohamed Rakhazali, Bendahari UMT, YBrs. Dr. Aishah Sheikh Abu Bakar, Pengarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, YBrs. Puan Norimah Annuar @ Mohd Tahir, Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Hulu Terengganu, YBrs. Encik Joe Hanni Mohamad, Pengurus Besar Kanan Jabatan Operasi Cawangan PTPTN dan YBrs. Puan Azizah Nasik @ Abd Rashid, Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Terengganu.
Melalui program ini, PTPTN telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM396,500 kepada 793 pelajar yang merupakan peminjam PTPTN daripada golongan kurang berkemampuan melibatkan enam (6) Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Terengganu.
Setiap pelajar menerima bantuan sebanyak RM500 secara sekali bayar one-off yang akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing.
Daripada jumlah tersebut, seramai 305 orang pelajar UMT menerima bantuan berjumlah RM152,500, manakala 414 orang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima bantuan berjumlah RM207,000.
Bantuan turut disalurkan kepada 74 orang pelajar di empat (4) politeknik dengan jumlah keseluruhan RM37,000, melibatkan Politeknik Hulu Terengganu, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Politeknik Besut dan Politeknik Kuala Terengganu.
Ketua Eksekutif PTPTN, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, “Dalam Usaha meningkatkan akses pendidikan tinggi kepada masyarakat tanpa mengira kaum, latar belakang mahupun status sosioekonomi, PTPTN telah melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi seperti program Bantuan Lestari Siswa MADANI untuk disalurkan kepada pelajar yang memerlukan.”
“Saya berharap bantuan ini dapat menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik,
“Kejayaan yang dicapai kelak bukan sahaja membuka peluang kepada masa depan dan kerjaya yang lebih baik, malah mampu meningkatkan taraf hidup serta mengubah nasib keluarga ke arah kehidupan yang lebih sejahtera,” ujarnya lagi.
Program Bantuan Lestari Siswa MADANI mencerminkan keprihatinan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan PTPTN dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat bagi menyokong agenda pendidikan tinggi negara.
PTPTN akan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat, selaras dengan moto PTPTN, “Peluang Kejayaan Anda.”


