Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Banyak Kegunaan Dalam Masakan, Ini Teknik Penanaman Bunga Kantan
Umum mengetahui bahawa bunga kantan merupakan salah satu bahan yang penting dalam masakan terutamanya asam pedas.
Aromanya yang harum dan menyegarkan itu sudah pasti akan memikat selera siapa sahaja yang menikmati hidangan tersebut.
Malah, warnanya yang menarik itu juga mampu menambah keserian dalam setiap masakan yang dihidangkan.
Selain dari asam pedas, bunga kantan juga boleh digunakan untuk masakan lain seperti kerabu, dijadikan sebagai ulam ataupun sebagai hiasan.
Oleh yang demikian, ramai yang mula menanam bunga kantan sebagai salah satu sumber pendapatan mereka di samping hasilnya juga boleh digunakan untuk kegunaan sendiri.
Bukan itu sahaja, menanam bunga kantan juga tidaklah begitu sukar kerana ia merupakan salah satu tanaman yang mudah tumbuh.
Namun, walaupun ia nampak mudah dijaga, ia sebenarnya memerlukan penelitian dan perhatian yang lebih bagi memastikan kesuburuannya terjaga.
Justeru, ikuti perkongsian dari Jabatan Pertanian Malaysia mengenai panduan menanam bunga kantan.
Tanaman herba ini, yang dikenali secara saintifik sebagai Phaeomeria speciosa, dan merupakan tumbuhan tropika yang dipercayai berasal dari Malaysia. Ia juga boleh mencapai ketinggian sekitar 4 hingga 5 meter apabila matang.
Biasanya, pokok ini memiliki ketinggian 4 meter hingga 5 meter dan mempunyai batang bulat dengan daun panjang berwarna kehijauan serta mengeluarkan dua jenis sulur daripada bahagian rizom.
Antara salah satu tip untuk mendapatkan hasil yang lumayan, pastikan ia ditanam pada tanah lembap dan subur. Hal ini kerana, ia memerlukan tanah yang mengandungi banyak humas dan kawasan yang mempunyai sedikit lindungan.
Selain itu, kaedah pembiakannya juga mudah kerana ia boleh ditanam dengan menggunakan rizom (ubi) atau biji benih dengan jarak tanaman antara 1 hingga 2 meter.
Secara semula jadi, tumbuhan ini biasanya banyak ditemui tumbuh subur di kawasan tepi sungai yang mempunyai kelembapan yang tinggi.
Bukan itu sahaja, tempoh untuk tanaman ini mula matang ialah satu tahun dan ia mula berbunga dan berbuah selepas setahun atau lebih daripada tempoh penanaman.
Jadi, cara memetiknya juga perlu dilakukan dengan cermat. Anda perlu memilih bunga yang belum kembang dan potong pada bahagian pangkal batang bagi memastikan kualitinya terjaga.
Setiap bahagian bunga kantan mempunyai pelbagai fungsi dan kegunaannya. Misalnya, bahagian batang pokoknya boleh digunakan secara tradisional untuk mengubati penyakit bengkak.
Selain itu, bahagian ruahnya boleh digunakan sebagai salah satu bahan yang membantu mengatasi masalah kurang selera makan.
Untuk bahagian rizomnya, ia boleh dicampurkan ke dalam makanan manakala bunga pula adalah bahan utama dalam penyediaan laksa dan nasi ulam.
