Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tip Suburkan Tanaman Guna Kulit Bawang
Tidak dinafikan, berkebun merupakan salah satu hobi atau aktiviti masa lapang yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Bukan itu sahaja, ia juga mampu menjadi salah satu cara untuk seseorang itu menenangkan fikiran.
Bagi golongan yang gemar untuk berkebun, memperoleh hasil yang menguntungkan dan baik sudah tentu akan membuatkan mereka berasa berpuas hati dan gembira.
Hal ini kerana, menjaga tanaman bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia memerlukan pemerhatian yang rapi.
Malah, sekiranya ia tidak dijaga dengan baik, kecenderungan untuk diserang oleh haiwan perosak sangatlah tinggi.
Selain dari haiwan perosak, tanaman ini juga boleh rosak disebabkan oleh faktor-faktor lain. Misalnya, baja yang tidak mencukupi, jenis tanah yang tidak sesuai, tempat yang tidak strategik dan banyak lagi faktor yang lain.
Justeru itu, artikel kali ini akan berkongsi satu tip yang dikongsi oleh salah seorang pengguna Facebook tentang cara untuk menyuburkan tanaman.
Dalam satu perkongsian yang dimuat naik oleh Arie Lynn Adam di laman Facebook, dia ada berkongsi salah satu cara bagi memastikan hasil tanaman subur dan berkualiti. Menurutnya, bahan yang diperlukan cuma kulit bawang dan air basuhan beras sahaja.
"Kulit bawang jangan dibuang ya! Simpan untuk rendaman kulit bawang dalam air basuhan beras," ujarnya.
Caranya, anda boleh rendamkan kulit bawang di dalam air basuhan beras. Rendam selama satu hingga dua minggu.
Selepas itu, anda boleh siapkan air semburan tersebut. Campurkan satu cawan air rendaman kulit bawang yang telah ditapis dan dua hingga tiga cawan air paip ataupun air hujan.
Setelah bancuhan anda siap, anda boleh gunakannya untuk disembur pada tanaman anda. Anda boleh semburkan baja tersebut pada waktu pagi ataupun waktu petang.
Sembur juga di bahagian atas dan bawah sayur berserta dengan kawasan pangkal tanah. Untuk sisa kulit bawang yang direndam tadi, anda boleh tanamkan ia di sebelah tanaman sayur anda.

Jadi, untuk anda yang mungkin buntu apa lagi cara untuk memastikan tanaman anda kekal subur, mungkin anda boleh cuba cara ini.
Selamat mencuba!