Jambatan gantung yang baru dibina di Kabupaten Pangandaran, Jawa Barat runtuh ketika majlis perasmiannya pada Ahad.
Menurut CNN Indonesia, jambatan gantung itu dibina oleh Komando Distrik Militer (KODIM) Pangandaran dan Batalyon Teritorial Pembangunan (YON TP) Pangandaran sebelum dirasmikan oleh Bupati atau Ketua Daerah Pangandaran, Citra Pitriyami bersama beberapa pegawai.
Menerusi rakaman video yang tular, Citra dilihat berada di atas jambatan tersebut bersama beberapa individu lain.
Tiba-tiba, sebahagian struktur jambatan itu rosak sehingga menyebabkan beberapa individu yang berada di atasnya terjatuh.
Bagaimanapun, kesemua mereka dilaporkan selamat.
Ketua Polis Sektor Cijulang, IPTU Dimas Aditama berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut dan semua pegawai yang hadir berada dalam keadaan selamat.
“Pihak berkuasa segera mengawal kawasan kejadian. Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa dan keadaan kekal selamat serta terkawal,” katanya.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.10 petang waktu tempatan, sejurus selepas acara perasmian selesai.
Ketika kejadian, rombongan pegawai dan penduduk sedang melintasi jambatan yang baru sahaja dirasmikan itu.
Jambatan Gantung Pongpet merupakan laluan penting bagi penduduk Desa Margacinta dan turut menjadi akses menuju ke kawasan Kampung Budaya Margacinta.
Jambatan berkenaan mempunyai panjang kira-kira 60 meter dengan struktur menggunakan kabel keluli serta lantai daripada papan kayu.
Selepas kejadian, pasukan keselamatan gabungan segera mengawal lokasi dan menutup akses ke jambatan berkenaan.
Langkah itu diambil bagi menghalang orang ramai daripada melintasinya sehingga pemeriksaan dan kerja pembaikan dilakukan oleh pihak berkaitan.
Punca kerosakan jambatan berkenaan masih dalam siasatan.
“Dakwaan bahawa ia berpunca daripada beban berlebihan akibat terlalu ramai orang melintas pada masa yang sama masih belum dapat dipastikan dan kita masih menunggu hasil pemeriksaan teknikal,” kata Dimas.


