Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Batuk Lepas Makan Limau Mandarin? Ini Sebab & Cara Atasinya
Menjelang Tahun Baharu Cina, suasana di kebanyakan pasar raya mula dihiasi dengan warna merah yang menyerlah.
Selain itu, buah limau menjadi antara produk yang paling mendapat perhatian dan sentiasa menjadi pilihan pembeli.
Justeru, permintaan terhadap limau biasanya meningkat setiap kali musim perayaan ini tiba.
Walaupun limau kaya dengan vitamin C dan sering dimakan dalam kuantiti banyak, sebenarnya terdapat cara yang betul untuk menikmatinya.
Namun begitu, sekiranya limau tak dihidang atau dimakan dengan cara yang betul, ia boleh buat kita batuk atau sakit tekak.
Seorang ahli teknologis makanan telah berkongsi tip cara makan limau mandarin supaya tidak menyebabkan batuk.
Jom ikuti perkongsian beliau di bawah.
Sambutan Tahun Baru Cina semakin hampir, pastinya ramai yang sudah menerima hadiah limau mandarin daripada rakan-rakan berbangsa Cina, atau membelinya sendiri di kedai buah atau pasar raya.
Buahnya manis dan sedap kan… tetapi pernahkah anda makan limau mandarin dan tiba-tiba batuk teruk? Saya pernah mengalaminya, tapi dah lama la, 15 tahun yang lepas. Tapi tahukah anda apa puncanya?
Hasil siasatan mendapati limau mandarin yang saya makan disalut dengan sulfur dioksida. Proses ini dilakukan sebagai bahan pengawet untuk memanjangkan jangka hayat buah sebelum dipasarkan.
Walau bagaimanapun, kerana saya mempunyai penyakit lelah, saya mengalami gejala batuk dan lelah yang berpanjangan. Memang menyeksakan...
Sebenarnya, menurut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983, penggunaan sulfur dioksida sebagai bahan pengawet dalam makanan tertentu, termasuk buah-buahan segar seperti limau mandarin, dibenarkan tetapi pada kadar tidak melebihi 30mg/kg.
Sulfur dioksida telah dinilai dan disahkan selamat digunakan oleh badan antarabangsa Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additive (JECFA) apabila digunakan mengikut kadar yang dibenarkan.
Namun, ia boleh menyebabkan reaksi alahan atau lelah bagi mereka yang sensitif apabila terhidu atau tertelan.
Jika ada penggunaan Sulfur Dioksida dalam buah limau manderin, di bawah subperaturan 20(6) Peraturan-Peraturan Makanan 1985, setiap bungkusan makanan untuk jualan termasuk limau mandarin yang ditambah sulfur dioksida lebih daripada 10mg/kg, mesti dilabel dengan pernyataan "mengandungi sulfur dioksida".
Sesiapa yang gagal mematuhi peraturan ini boleh didenda tidak melebihi RM 5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.
Di bawah subperaturan 11(1) (j), Peraturan-Peraturan Makanan 1985, bagi makanan import termasuk limau mandarin, nama serta alamat pembungkus dan pengimport, termasuk nama negara dari mana makanan itu berasal hendaklah dinyatakan pada label.
Kalau ada sesiapa yang membuat pelabelan palsu boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau denda atau kedua-duanya seperti yang diperuntukan di bawah Seksyen 16, Akta Makanan 1983.
Saya kongsikan tip nak makan limau mandarin supaya tak batuk:
Basuh kulit limau sebelum dimakan.
Jangan gigit kulit ketika mengupas buah.
Selepas mengupas, pastikan tangan dicuci.
Makan isi limau sahaja, jangan makan kulitnya.
Suruh orang lain kupaskan.
Diharapkan tip ini berguna kepada anda semua.