Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bayi Kerap Tersedak Ketika Menyusu? Ini Punca Dan Cara Mengatasinya

Bayi tersedak ketika menyusu
Kredit: Gambar Hiasan AI

Bayi Kerap Tersedak Ketika Menyusu? Ini Punca Dan Cara Mengatasinya

Bagi kebanyakan ibu bapa, waktu menyusukan bayi merupakan antara momen yang paling dinanti-nantikan.

Selain menjadi peluang untuk mengeratkan hubungan dengan si kecil, waktu ini juga memberi ruang untuk menikmati detik tenang bersama bayi.

Namun, keadaan boleh menjadi cemas apabila bayi tiba-tiba terbatuk, tercekik atau mengeluarkan bunyi seperti tersedak ketika menyusu.

Situasi ini sememangnya boleh membuatkan ibu bapa panik, terutama mereka yang baru pertama kali melalui pengalaman tersebut.

Persoalannya, mengapa bayi mudah tersedak ketika menyusu dan apa yang boleh dilakukan ibu bapa untuk membantu si kecil?

Bayi tersedak ketika menyusu, jangan terus panik

Menurut pakar pediatrik, bayi memang mudah mengalami gagging, iaitu refleks untuk mengeluarkan sesuatu yang dirasakan mengganggu saluran mulut atau tekak.

Bayi dilahirkan dengan refleks gag yang lebih kuat sebagai mekanisme perlindungan, selain sistem saraf mereka masih dalam proses berkembang.

Jika bayi mula tersedak atau gag ketika menyusu, ibu bapa dinasihatkan supaya tidak panik.

Hentikan penyusuan seketika dan letakkan bayi dalam keadaan tegak sambil memberikan sokongan yang baik pada kepala dan leher.

Dalam kebanyakan keadaan, bayi mungkin hanya memerlukan beberapa saat untuk mengawal semula pernafasan dan menelan susu dengan baik.

Kenapa bayi tersedak ketika menyusu badan?

Antara punca paling biasa ialah aliran susu yang terlalu deras, menyebabkan bayi tidak sempat menelan susu pada kadar yang sama.

Keadaan ini boleh berlaku apabila ibu mempunyai bekalan susu yang berlebihan atau mengalami refleks let-down yang terlalu kuat.

Apabila susu keluar dengan laju, bayi mungkin mula menelan dengan pantas, batuk, tersedak atau kelihatan gelisah ketika menyusu.

Antara tanda aliran susu terlalu deras termasuk bayi kerap batuk, tersedak atau menelan susu dengan cepat, terutama ketika susu mula mengalir.

Bagaimana mengurangkan risiko bayi tersedak ketika menyusu badan?

Salah satu cara yang boleh dicuba ialah mengubah posisi penyusuan.

Ibu boleh mencuba posisi menyusu secara bersandar atau laid-back position. Posisi ini menggunakan graviti untuk memperlahankan aliran susu dan memberi bayi lebih kawalan ketika menyusu.

Ibu juga boleh menghentikan penyusuan seketika apabila susu mula mengalir dengan deras bagi memberi peluang kepada bayi menarik nafas dan menelan dengan lebih tenang.

Selain itu, posisi mengiring juga boleh membantu kerana bayi mempunyai peluang untuk membiarkan lebihan susu mengalir keluar dari mulut sekiranya alirannya terlalu deras.

Sesetengah ibu turut memilih untuk memerah sedikit susu selama satu hingga dua minit sebelum bayi mula menyusu bagi mengurangkan tekanan aliran susu pada peringkat awal.

Namun, kaedah ini perlu dilakukan secara sederhana kerana mengepam terlalu lama boleh merangsang penghasilan lebih banyak susu.

Kenapa bayi tersedak ketika minum susu menggunakan botol?

Bagi bayi yang menyusu menggunakan botol, kedudukan ketika menyusu juga memainkan peranan penting.

Jika bayi dibaringkan rata ketika minum, aliran susu boleh menjadi lebih deras dan menyukarkan bayi mengawal kadar susu yang masuk ke mulut.

Saiz lubang puting botol juga perlu bersesuaian dengan usia bayi. Puting yang mempunyai lubang terlalu besar boleh menyebabkan susu mengalir terlalu cepat.

Ibu bapa boleh mencuba teknik paced bottle-feeding, iaitu memegang botol dalam keadaan lebih mendatar supaya bayi mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap aliran susu.

Teknik ini membolehkan bayi berhenti seketika apabila perlu dan mengawal sendiri kadar susu yang diminum, berbanding membiarkan graviti menyebabkan susu terus mengalir.

Semua penjaga yang memberikan susu menggunakan botol juga sebaiknya mengetahui teknik penyusuan ini bagi memastikan bayi mendapat pengalaman penyusuan yang lebih selesa dan selamat.

Satu lagi perkara penting, jangan sesekali menyokong botol dengan bantal atau objek dan meninggalkan bayi bersendirian ketika menyusu.

Susu akan terus mengalir walaupun bayi belum bersedia untuk menelannya, sekali gus meningkatkan risiko tersedak.

Bila perlu mendapatkan bantuan?

Seiring pertambahan usia, refleks gag biasanya akan berkurangan apabila bayi semakin mahir mengawal pergerakan mulut dan menelan.

Namun, ibu bapa dan penjaga bayi disarankan mempelajari CPR bayi sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku kecemasan.

Jika bayi benar-benar tercekik sehingga sukar bernafas, bertukar kebiruan atau hilang kesedaran, keadaan itu memerlukan bantuan kecemasan segera.

Bagi masalah penyusuan badan, ibu boleh mendapatkan bantuan daripada pakar profesional untuk menilai masalah lekapan, posisi penyusuan, bekalan susu berlebihan atau aliran susu yang terlalu deras.

Sementara itu, bagi bayi yang menyusu menggunakan botol, ibu bapa boleh mendapatkan nasihat doktor kanak-kanak mengenai pemilihan botol, saiz puting dan posisi penyusuan yang sesuai.

Jika bayi terus mengalami masalah tersedak walaupun kadar penyusuan sudah diperlahankan, pemeriksaan doktor juga penting bagi memastikan tiada masalah struktur atau keadaan lain yang menyebabkan bayi sukar menelan.

Sumber:Healthline
Intipati
  • Bayi mudah tersedak kerana refleks gag kuat dan sistem saraf masih berkembang.
  • Aliran susu terlalu deras boleh menyebabkan bayi batuk, gelisah atau sukar menelan.
  • Bantuan kecemasan diperlukan jika bayi sukar bernafas, kebiruan atau hilang kesedaran.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan