KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan kawalan keselamatan dan lalu lintas secara menyeluruh di ibu negara serta Putrajaya bersempena Sambutan Ambang Merdeka ke-69 dan Hari Kebangsaan 2026, bermula esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata di Putrajaya, penutupan jalan bagi sesi 'Raptai Skeleton' bermula esok hingga Jumaat melibatkan penutupan penuh sepanjang Persiaran Perdana bermula dari Jalan Kemerdekaan hingga Lebuh Bestari.
Beliau berkata bagi sesi raptai 28 dan 29 Ogos, lapan jalan utama akan ditutup bermula 6 pagi hingga 12 tengah hari iaitu Dataran Putra, Persiaran Perdana, Laman Perdana, Jalan P2a, Jalan P2t, Jalan P2s, Jalan P2w dan Jalan P2y.
“Pada 30 Ogos, penutupan jalan di Putrajaya bermula 5 pagi hingga 6 petang keesokan harinya secara sepenuhnya melibatkan ‘Core Island’ dan beberapa laluan.
“Antara laluan yang terlibat ialah Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana, Jambatan Seri Gemilang, Jambatan Putra dan Jambatan Seri Ehsan, manakala hanya Jambatan Seri Bestari dan Jambatan Seri Setia dibuka untuk akses,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Fadil berkata beberapa laluan lain di Putrajaya turut terjejas termasuk Lebuh Bestari, Lebuh Setia, Lebuh Saujana, Lebuh Gemilang, Lebuh Wawasan, Lebuh Sentosa, Jalan Tun Hussein, Persiaran Barat dan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSSAS).
Sehubungan itu, Fadil menasihatkan pengunjung untuk merancang perjalanan serta menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam iaitu bas ulang-alik secara percuma yang disediakan oleh Perbadanan Putrajaya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan di Putrajaya yang merupakan kawasan larangan terbang, selain menasihati penduduk agar tidak cemas dengan bunyi tembakan meriam oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa sesi raptai dan hari sambutan.
“Sebanyak 2,357 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di Putrajaya bagi menjaga kawalan keselamatan dan kawalan trafik dengan jangkaan kehadiran pengunjung 80,000 orang,” katanya.
Di ibu negara, beliau berkata pihak polis akan melaksanakan Ops Pencegahan Jenayah bersempena Sambutan Ambang Merdeka 2026 dengan tumpuan kepada pemantauan kawasan ‘hotspot’, lokasi tumpuan orang ramai serta usaha mencegah dan membanteras jenayah.
-- BERNAMA

