Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tulang Dipercayai Milik Manusia Ditemukan Di Kawasan Semak
KANGAR, 6 Ogos (Bernama) -- Beberapa tulang lama dipercayai milik manusia ditemukan dalam keadaan terkeluar dari sebuah guni putih reput di kawasan semak di Bohor Mali di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan tulang itu daripada seorang peniaga lelaki berusia 61 tahun pada 12.35 tengah hari.
Beliau berkata lelaki berkenaan bersama anak perempuannya berusia 29 tahun, ke kawasan berkenaan untuk melakukan kerja pembersihan dan menebas serta meracun semak pada 11 pagi.
"Tanah tersebut baru sahaja dibeli anak perempuannya ini anggaran lebih kurang dua bulan lepas. Semasa aktiviti pembersihan, peniaga ini telah menjumpai beberapa tulang tidak dikenal pasti dalam keadaan terkeluar daripada guni putih tersebut atas tanah tertimbus dengan sebahagian tanah dan ditutupi semak-samun itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati beberapa tulang ditemukan bersama sehelai boxer dan sehelai seluar pendek lusuh yang koyak, serta seutas tali pinggang daripada guni berkenaan yang dipercayai telah lama ditinggalkan.
Yusharifuddin berkata penemuan baharu itu lebih kurang 31.1 meter dari tempat pertama tulang dalam keadaan hampir sama dijumpai pada 26 Julai lepas.
"Barang kes telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk analisis awal patalogi lebih kurang 4.30 petang semalam dan laporan analisis awal dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kes penemuan tulang semalam dengan pada 26 Julai, akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Yusharifuddin meminta mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga tampil di balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Tengku Mohd Farid Tengku Ibrahim di talian 019-9939200.
Pada Selasa lepas, Yusharifuddin mengesahkan rangka yang ditemukan dalam bungkusan guni di kawasan kebun berhadapan sebuah kilang di sini pada 26 Julai, ialah rangka manusia.