Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bekas Ketua Jurulatih Hoki Negara, Sarjit Singh Meninggal Dunia

Sarjit Singh
Kredit: Facebook Malaysian Hockey Confederation

Bekas ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh Kundan Singh, meninggal dunia pukul 10 malam tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), pada usia 63 tahun.

Sarjit Singh meninggal dunia

Persatuan Hoki Malaysia (MHC) dalam kenyataan hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Sarjit yang disifatkan sebagai legenda hoki Malaysia, bekas pemain Olimpik dan kapten negara.

Sarjit yang dilahirkan pada 24 November 1962 mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dari 1982 hingga 1993 dan pernah mengetuai skuad negara pada Piala Dunia Remaja 1982 serta Sukan Olimpik Barcelona 1992.

Beliau beraksi dalam dua edisi Sukan Olimpik, iaitu Los Angeles 1984 dan Barcelona 1992.

Selepas menamatkan kerjaya sebagai pemain, Sarjit meneruskan sumbangannya dalam bidang kejurulatihan dengan membimbing skuad remaja kebangsaan dari 2004 hingga 2006.

Beliau kemudiannya diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Speedy Tigers, dari Mac 2024 hingga Mac 2026.

MHC berkata dedikasi, khidmat dan sumbangan Sarjit terhadap hoki negara, sama ada sebagai pemain atau jurulatih, akan sentiasa dikenang.

“Ucapan takziah kami tujukan kepada keluarga dan insan tersayang. Semoga mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi waktu sukar ini.

“Semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang yang beroleh kedamaian,” menurut kenyataan itu.

Intipati
  • Sarjit Singh Kundan Singh meninggal dunia di HCTM pada usia 63 tahun.
  • MHC menyifatkan Sarjit sebagai legenda hoki Malaysia, bekas pemain Olimpik dan kapten negara.
  • Beliau pernah membimbing skuad remaja kebangsaan dan menjadi ketua jurulatih Speedy Tigers.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan