Berang dengan masalah rangkaian telefon mudah alih yang berlarutan meskipun terdapat menara telekomunikasi di kawasan mereka, sekumpulan penduduk sebuah kampung di sini bertindak mengikat seorang juruteknik pada menara berkenaan, lapor NDTV.
Penduduk ikat juruteknik pada menara telekomunikasi
Insiden yang berlaku di kampung Hardauli pada Khamis itu dipercayai tercetus selepas penduduk mendakwa masalah rangkaian di kawasan berkenaan berlarutan sejak kira-kira dua tahun lalu.
Video kejadian itu turut tular di media sosial, memaparkan seorang lelaki diikat pada menara telekomunikasi dengan beberapa penduduk berada di sekitar lokasi.
Menurut polis, penduduk sudah lama berdepan masalah rangkaian dan keadaan menjadi tegang apabila pekerja menara berkenaan tiba di kampung itu.
Penduduk mendakwa walaupun menara telekomunikasi telah tersedia di kampung mereka, masalah rangkaian masih berlarutan, manakala aduan berulang kepada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi tidak membuahkan hasil.
Susulan rasa tidak puas hati yang memuncak, penduduk kemudian mengikat juruteknik berkenaan pada menara dan memaklumkan lelaki itu tidak akan dilepaskan sehingga pegawai syarikat telekomunikasi datang ke kampung berkenaan serta menyelesaikan masalah rangkaian.
Penduduk turut mendakwa mereka membayar langganan prabayar untuk mendapatkan perkhidmatan 5G, namun masih menghadapi kesukaran mengakses internet dan membuat panggilan akibat masalah rangkaian.
Polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu kemudian tiba di lokasi dan membebaskan juruteknik berkenaan.
Ketua Balai Polis Bindki, Shailesh Singh berkata, siasatan awal mendapati tindakan penduduk itu berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap masalah rangkaian telefon mudah alih di kawasan berkenaan.
“Penduduk berdepan masalah rangkaian telefon mudah alih yang menyebabkan mereka bertindak mengikat pekerja menara itu pada menara,” katanya.
Kes berhubung kejadian itu telah didaftarkan berdasarkan laporan yang dibuat oleh juruteknik terbabit.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian, termasuk meneliti video yang tular serta menentukan urutan peristiwa dan individu yang terlibat.

