Sebuah kapal tangki milik PT Pertamina Patra Niaga, MT Mauhau, membantu menyelamatkan penumpang KMP Virgo Transport 08 selepas kapal penumpang dan roll-on roll-off (RoRo) itu dilaporkan tenggelam di Laut Jawa pada Ahad.
MT Mauhau yang dalam pelayaran dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan ke Tuban, Jawa Timur, menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan menerusi radio VHF.
Naib Presiden Komunikasi Korporat PT Pertamina Patra Niaga, Kitty Andhora, berkata sebaik menerima maklumat bahawa sebuah kapal karam berhampiran laluan mereka, nakhoda bersama kru MT Mauhau segera mengubah haluan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat.
“Selepas menerima maklumat bahawa sebuah kapal telah tenggelam, nakhoda dan kru MT Mauhau segera mengambil tindakan membantu operasi menyelamat. Menyelamatkan nyawa adalah keutamaan kami dan kami bersyukur 16 orang berjaya dipindahkan,” katanya di Jakarta pada Ahad.
Setakat laporan terkini, 16 mangsa termasuk nakhoda KMP Virgo Transport 08 berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke MT Mauhau.
Seorang daripada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada kaki dan menerima rawatan awal daripada kru kapal tangki berkenaan.
Menurut Kitty, tindakan pantas kru MT Mauhau mencerminkan profesionalisme serta keprihatinan petugas Pertamina dalam mengutamakan aspek keselamatan, khususnya ketika berlaku kecemasan di kawasan operasi dan laluan perkapalan mereka.
Dalam operasi itu, MT Mauhau turut berkoordinasi dengan Pejabat SAR Banjarmasin yang sedang menuju ke lokasi kejadian bagi meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Beberapa kapal lain termasuk TB TCP 205 dan KMP Haidar turut membantu operasi menyelamat berkenaan.
Kitty berkata, Pertamina Patra Niaga terus berkoordinasi dengan pihak berkuasa berkaitan selain memantau perkembangan operasi pemindahan serta pencarian mangsa.
Katanya, kru MT Mauhau turut memastikan mangsa yang berjaya diselamatkan menerima bantuan awal termasuk makanan, air minuman dan keperluan lain sementara menunggu proses pemindahan seterusnya.
“Kami terus berkoordinasi dengan Pejabat SAR Banjarmasin dan semua pihak yang terlibat. Fokus kami adalah memastikan mangsa yang diselamatkan mendapat penjagaan sewajarnya selain menyokong usaha mencari mangsa lain,” katanya.
Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap keselamatan maritim dan tanggungjawab sosial, Pertamina Patra Niaga menggalakkan semua kru serta pekerjanya untuk bertindak pantas dan berkesan ketika berdepan kecemasan di laut.

