Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Berpotensi Tahan Ribuan Tahun, Saintis China Bangunkan Bateri Nuklear Karbon-14

Saintis China Bangunkan Bateri Nuklear
Kredit: South China Morning Post

Berpotensi Tahan Ribuan Tahun, Saintis China Bangunkan Bateri Nuklear Karbon-14

Penyelidik China membangunkan bateri nuklear generasi baharu yang jauh mengatasi model terdahulu, sekali gus menandakan kemajuan besar dalam sumber kuasa jangka hayat panjang, lapor South China Morning Post.

Northwest Normal University dengan kerjasama firma teknologi China, Gansu Zhulong Technology, memperkenalkan bateri nuklear karbon-14 dan transduser silikon karbida (SiC) pada Isnin.

Mereka berkata peralatan itu dibangunkan tanpa menggunakan teknologi atau komponen asing.

Bateri Qianjiyuan Tianshu itu merupakan naik taraf besar daripada prototaip terdahulu pasukan berkenaan, Candle Dragon-I atau Zhulong-1, yang diperkenalkan pada November 2024.

Berbanding model sebelumnya, bateri baharu itu mengurangkan penggunaan bahan radioaktif kepada hanya 22 peratus, selain meningkatkan arus litar pintas sebanyak 2.5 kali ganda dan kuasa maksimum sebanyak 2.6 kali ganda, sambil mengekalkan voltan serta kestabilan yang sama.

Antara peningkatan prestasinya, isipadu efektif peranti itu turut dikecilkan kepada hanya 17 peratus daripada saiz asal, sekali gus menghasilkan peningkatan ketumpatan kuasa volumetrik sebanyak 15.5 kali ganda.

Jangka hayat selama ribuan tahun

Ketua pasukan projek di Northwest Normal University, Su Maogen, berkata karbon-14 mempunyai separuh hayat selama 5,730 tahun, sekali gus memberikan bateri tersebut jangka hayat teori selama ribuan tahun.

Dalam kenyataan universiti itu, Su berkata peranti berkenaan mampu beroperasi dengan stabil pada suhu antara minus 100 darjah Celsius hingga 200 darjah Celsius.

Ia sekaligus menjadikannya sesuai digunakan untuk implan perubatan, kawasan laut dalam dan kutub, selain aplikasi pertahanan serta aeroangkasa.

“Bateri nuklear sangat penting untuk penerokaan angkasa, misi kutub, peralatan khusus dan operasi tanpa manusia. Ia juga merupakan bahagian penting dalam strategi tenaga baharu China.

“Versi terdahulu berdepan masalah kuasa rendah, integrasi lemah dan kos tinggi. Oleh itu, pasukan penyelidik memberi tumpuan untuk menghasilkan peranti yang kompak, berkuasa, mampu milik dan dibangunkan sepenuhnya dalam negara,” lapor media rasmi China, Science and Technology Daily, pada Selasa.

Kredit: South China Morning Post

Untuk pengetahuan, bateri nuklear berbeza secara asas daripada reaktor loji tenaga nuklear.

Ia tidak bergantung kepada pembelahan nuklear berantai, sebaliknya memanfaatkan tenaga daripada pereputan radioaktif semula jadi isotop seperti karbon-14 atau plutonium-238.

Bateri karbon-14 baharu ini berfungsi dengan cara berbeza. Ia mengarahkan zarah beta, iaitu elektron berkelajuan tinggi daripada proses pereputan ke dalam semikonduktor silikon karbida.

Di situ, zarah tersebut merangsang elektron untuk menghasilkan arus elektrik.

Secara asasnya, ia boleh dianggap seperti panel solar yang dikuasakan oleh radiasi, bukannya cahaya.

Bateri itu berukuran hanya 16.8 sentimeter padu dan menggunakan 129 millicurie karbon-14, iaitu ukuran bagi radioaktiviti.

Ia menghasilkan arus litar pintas sebanyak 0.713 mikroampere (µA), voltan litar terbuka 2.06V, faktor isian 0.77 dan output maksimum 1.13 mikrowatt (µW).