Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

BERSAMA Wajibkan 15 Calon PRN Johor Isytihar Harta, Tandatangan Akuan Integriti

BERSAMA
Kredit: Bernama

BERSAMA Wajibkan 15 Calon PRN Johor Isytihar Harta, Tandatangan Akuan Integriti

Semua 15 calon Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 diwajibkan mengisytiharkan harta, pendapatan serta perbelanjaan masing-masing menerusi Akuan Bersumpah sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap ketelusan dan integriti politik.

Menerusi kenyataan bersama di Facebook hari ini, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan kesemua calon turut bersetuju menandatangani beberapa akujanji tambahan yang ditetapkan parti.

Menurut mereka, antara dokumen yang perlu ditandatangani termasuk surat peletakan jawatan bersyarat yang akan disimpan oleh pihak parti sebagai langkah memastikan disiplin serta kesetiaan calon.

Katanya, akujanji tersebut turut merangkumi komitmen untuk mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya dipecat atau memilih keluar parti, selain larangan melompat parti sepanjang tempoh memegang jawatan.

Selain itu, calon juga perlu menandatangani akujanji berkaitan pemulangan wang deposit kepada parti, pengesahan kelayakan mengikut undang-undang serta pengakuan bahawa semua maklumat yang diberikan adalah benar.

BERSAMA turut menetapkan bon penalti sebanyak RM2 juta ke atas mana-mana calon yang melanggar syarat atau akujanji yang dipersetujui termasuk ketetapan menghadiri sidang DUN dan mematuhi disiplin parti.

“Semua 15 calon telah bersetuju menandatangani set akuan bersumpah ini dan dijangka menyerahkannya sepenuhnya kepada parti sebelum jam 12 tengah hari esok,” menurut kenyataan itu.

Menurut BERSAMA, semua maklumat berkaitan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan calon akan dipaparkan secara terbuka di laman rasmi parti bagi semakan umum bermula jam 10 malam esok.

Orang ramai juga digalakkan meneliti latar belakang calon termasuk kerjaya, pendidikan, penglibatan masyarakat serta kedudukan kewangan mereka menerusi platform tersebut.

Pengumuman rasmi calon-calon BERSAMA bagi PRN Johor dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam esok di Johor Bahru bersempena pelancaran Trak Kancil yang akan digunakan sepanjang tempoh kempen.

Dalam masa sama, parti itu turut menyeru semua parti yang bertanding agar mengambil langkah sama dengan mengisytiharkan harta calon masing-masing bagi memperkukuh amalan ketelusan dalam politik negara.

BERSAMA turut memaklumkan bahawa penyata perbelanjaan serta sumber dana kempen akan diumumkan selepas tamat tempoh pilihan raya.