Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengingatkan Datuk Mohd Puad Zarkashi supaya tidak melupakan jasa parti terhadap perjalanan politiknya, selain menegaskan UMNO bukan sebuah parti yang mengutamakan warisan keluarga dalam pemilihan calon.
Menerusi satu hantaran video di Facebook hari ini, Dr Akmal berkata keputusan Puad meninggalkan UMNO susulan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor wajar dihormati.
Namun menurut beliau, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu juga perlu mengakui peluang dan kepercayaan yang pernah diberikan parti sepanjang penglibatannya dalam politik.
Dr Akmal berkata, Puad sebelum ini pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, ADUN, Speaker DUN Johor serta Ketua Pengarah JASA.
“Saya percaya kalau bukan kerana UMNO, Datuk Puad mungkin tidak akan berada pada kedudukan yang beliau pernah pegang hari ini.
“Tetapi tidak mengapa, kita tetap menghormati jasa dan keputusan beliau,” katanya.
Mengulas dakwaan Puad bahawa UMNO Johor tidak lagi membawa aspirasi golongan muda, Dr Akmal berkata kenyataan itu tidak berasas memandangkan BN pada PRN Johor kali ini mempertaruhkan 13 calon berusia bawah 40 tahun.
Katanya, sebelum ini Puad sendiri pernah mencadangkan agar lebih ramai muka baharu dan calon muda diketengahkan.
“Semua ini orang muda. Jadi saya ingin tahu, aspirasi orang muda yang bagaimana lagi dimaksudkan?” soalnya.
Dalam masa sama, beliau turut mendakwa kritikan terhadap UMNO Johor mula timbul selepas permintaan Puad supaya anaknya diletakkan sebagai calon bagi menggantikannya di kerusi DUN Rengit tidak dipenuhi.
Dr Akmal menegaskan, UMNO bukan parti yang memberi laluan berdasarkan hubungan kekeluargaan semata-mata.
“Kalau anak Datuk tidak dipilih, itu tidak bermakna UMNO sudah hilang hala tuju untuk orang muda.
“Ramai lagi anak muda lain yang layak dan telah dipilih untuk mewakili parti,” katanya.
Beliau turut membidas dakwaan Puad yang mengaitkan Institusi Diraja Johor dalam urusan membuat keputusan parti dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan serius.
Sehubungan itu, Akmal memaklumkan Pemuda UMNO akan membuat laporan polis di seluruh Johor bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Katanya, tuduhan yang menyentuh Institusi Diraja tidak boleh dipandang ringan dan perlu disiasat pihak berkuasa.
Mengakhiri kenyataannya, Akmal menyeru Puad supaya menjadi contoh yang baik kepada generasi muda dan tidak menyalahkan parti hanya kerana hasrat peribadi tidak dipenuhi.