Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bettr, penyedia penyelesaian kewangan inklusif, kewangan bersepadu dan penyelesaian teknologi kewangan di bawah Ant International, hari ini mengumumkan kerjasama dengan Muslim Pro, aplikasi gaya hidup Islam yang telah merekodkan lebih 190 juta muat turun di seluruh dunia, untuk memperkenalkan penyelesaian pembiayaan Umrah di Malaysia.
Penyelesaian ini ditawarkan kepada umat Islam yang layak dan berkemampuan untuk menunaikan ibadah Umrah, tetapi memilih untuk mengurus kos perjalanan secara berperingkat.
Pendekatan ini memberikan lebih fleksibiliti kepada individu dan keluarga dalam mengurus aliran tunai, di samping membolehkan mereka meneruskan tabungan sedia ada serta mengekalkan simpanan yang mencukupi untuk keperluan kecemasan dan komitmen kewangan lain.
Pelancaran ini juga menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha Bettr dalam memperluaskan penyelesaian kewangan Islam, selaras dengan komitmen jangka panjang Ant International untuk memperkasakan komuniti Muslim menerusi perkhidmatan kewangan yang dipercayai, inklusif dan dipacu teknologi.
Penyelesaian pembiayaan ini menggunakan struktur Tawarruq bagi menyediakan kemudahan pembayaran yang selaras dengan prinsip kewangan Islam kepada individu yang layak. Proses tersebut dilaksanakan menerusi AS-SIDQ, platform dagangan komoditi digital berpaten milik SEDANIA As Salam Capital yang menyokong transaksi Tawarruq atau Komoditi Murabahah. Struktur ini telah disahkan oleh Masryef Advisory Sdn. Bhd., sebuah firma perunding kewangan Islam, bagi memastikan pematuhannya terhadap prinsip Syariah yang berkaitan.
Sebagai antara platform gaya hidup Islam paling dipercayai di dunia, Muslim Pro telah lama menyokong perjalanan keagamaan umat Islam, daripada amalan ibadah harian hinggalah kepada persiapan bagi ibadah penting seperti Umrah dan Haji.
Menyedari bahawa perancangan kewangan sering menjadi antara pertimbangan utama sebelum menunaikan ibadah tersebut, kerjasama bersama Bettr membolehkan pengguna yang layak di Malaysia mendapat akses kepada kemudahan pembiayaan patuh Syariah yang diyakini, sekali gus memudahkan perancangan kewangan bagi perjalanan Umrah mereka.
Melalui platform Muslim Pro, pengguna yang layak di Malaysia boleh meneroka pakej Umrah yang ditawarkan oleh rakan penyedia yang mengambil bahagian, memohon pembiayaan secara digital serta memilih tempoh bayaran ansuran antara 12 hingga 24 bulan, tertakluk kepada syarat kelayakan dan terma yang ditetapkan.
Pengguna juga boleh membuat penyelesaian awal pembiayaan mengikut terma yang berkenaan. Pakej yang ditawarkan merangkumi pilihan standard hingga premium dan boleh meliputi perjalanan individu mahupun keluarga, termasuk tiket penerbangan, penginapan, makanan serta pengangkutan darat.

Inisiatif ini hadir ketika penggunaan teknologi digital semakin meningkat dalam kalangan komuniti Muslim di seluruh dunia. Dengan populasi Muslim global mencecah sekitar dua bilion orang, termasuk kira-kira 22 juta penduduk Muslim di Malaysia atau sekitar 65% daripada jumlah populasi, permintaan terhadap perkhidmatan kewangan yang diintegrasikan secara lancar ke dalam platform digital gaya hidup semakin meningkat.
Di Malaysia, kebanyakkan jemaah Umrah terdiri daripada golongan berusia antara 30 hingga 50 tahun yang turut menyara isi rumah dengan dua hingga lima orang tanggungan. Bagi kebanyakan mereka, kos menunaikan Umrah dirancang dan disimpan lebih awal. Kemudahan pembayaran secara ansuran boleh membantu menampung baki perbelanjaan yang diperlukan tanpa menjejaskan komitmen kewangan lain.
Selaras dengan prinsip Islam yang menekankan bahawa ibadah haji dan umrah tidak seharusnya menjejaskan komitmen kewangan dan tanggungjawab lain, penyelesaian ini ditawarkan kepada individu dan keluarga yang telah menilai kemampuan kewangan mereka untuk membuat pembayaran semula, sekali gus menyediakan cara yang selamat dan patuh Syariah untuk mengurus kos perjalanan dengan lebih tenang.
Kerjasama ini menggabungkan ekosistem digital Muslim Pro yang dipercayai dengan kepakaran Bettr dalam penyelesaian pembiayaan patuh Syariah untuk menawarkan pengalaman perancangan Umrah yang lebih menyeluruh.
Dengan aspek privasi pengguna dan keselamatan data sebagai keutamaan, Bettr menggunakan model penilaian risiko kredit bagi menilai keupayaan bayaran balik setiap pemohon. Pendekatan yang inklusif dan selamat ini membolehkan Bettr memenuhi keperluan pelbagai segmen pengguna, termasuk pekerja gig dan pemilik perusahaan kecil.

“Jutaan umat Islam menggunakan Muslim Pro setiap hari sebagai rujukan dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Kini, platform ini juga semakin menjadi pilihan untuk membantu merancang detik-detik penting, termasuk ibadah Umrah,” kata Nafees Khundker, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Muslim Pro.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Bettr untuk menawarkan pilihan pembiayaan patuh Syariah yang bertanggungjawab, membolehkan individu dan keluarga di Malaysia merancang ibadah mereka dengan lebih yakin berteraskan kepercayaan, privasi dan keprihatinan yang sentiasa diharapkan oleh pengguna.”
“Kami percaya individu dan perusahaan kecil mampu mencapai potensi yang lebih besar apabila mereka menerima sokongan yang sewajarnya. Penglibatan kami dalam kewangan Islam berteraskan keyakinan bahawa teknologi boleh dimanfaatkan untuk membawa impak yang positif.” kata Quan Yu, Pengurus Besar Bettr Credit merangkap Naib Presiden Kanan Ant International.
“Melalui kerjasama dengan platform yang dipercayai seperti Muslim Pro, kami berhasrat untuk memperluaskan akses kepada produk kewangan digital patuh Syariah yang inovatif dan selaras dengan nilai-nilai teras komuniti Muslim, sekali gus menyokong pembangunan ekosistem kewangan yang lebih inklusif dan tidak meminggirkan mana-mana pihak.”
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan