Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pernah tak anda terfikir, adakah jenama kereta mempengaruhi cara pemandu lain memberi laluan di lebuh raya?
Persoalan itu menjadi bualan hangat dalam kalangan warga maya selepas seorang pengguna Threads mendakwa menerima layanan berbeza di lorong kanan apabila memandu dua kereta yang berlainan jenama.
Menerusi satu hantaran di Threads semalam, pengguna dikenali sebagai @miramey_z berkata, dia menyedari perubahan ketara apabila memandu kereta milik bapanya berbanding kenderaan yang biasa digunakannya.
“Betul la ayah aku kata. Brand kereta main peranan atas highway.
“Selama ni drive Bezza lane kanan 110km/j pun orang depan payah bagi laluan. Harini drive Passat ayah 90km/j je, ada yang kalut bagi laluan,” katanya.
Perkongsian itu pantas mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang turut berkongsi pengalaman masing-masing ketika memandu di lebuh raya.
Seorang pengguna, @hairiyaacob, berkata dia mengalami situasi hampir sama selepas bertukar kepada kereta lain.
“Dulu bawa Swift memang susah orang nak kasi laluan. Sekarang naik Mazda3 tak perlu cucuk pun orang dah ke tepi. Hidup lebih tenteram huhu,” katanya.
Sementara itu, @lisashahiraa berpendapat situasi tersebut bukan semata-mata bergantung kepada jenama kereta, namun mengakui pernah berdepan pengalaman serupa.
“Tak payah cakap pasal brand sebab dulu time drive Viva, dia slow macam siput pun tak nak ketepi. Sekarang bawa Myvi eh dari jauh dia dah ketepi.
“Tak faham kenapa gitu. Kalau slow duduk je la kiri kan. Nak bagi laluan pun kena tengok kereta apa ke,” ujarnya secara berseloroh.
Bagaimanapun, tidak semua netizen bersetuju dengan dakwaan tersebut.
Pengguna @zrhjkt berkata, pada masa kini isu sebenar lebih tertumpu kepada sikap segelintir pemandu yang gemar berada di lorong kanan walaupun tidak memotong kenderaan lain.
“Tak juga. Sekarang tak tengok dah brand. Abah aku dan pakcik aku bawa H kat lane kanan menyucuk tak ada pun lane hogger ni bagi laluan.
“Yang orang bagi laluan Myvi dan Axia,” jelasnya.
Perkongsian itu turut membuka semula perbincangan mengenai budaya lane hogging, iaitu tindakan memandu terlalu lama di lorong kanan tanpa memotong, yang sering menjadi rungutan pengguna lebuh raya kerana boleh mengganggu kelancaran trafik.
Rata-rata netizen berpendapat, tanpa mengira jenis atau jenama kenderaan, setiap pemandu seharusnya menggunakan lorong kanan untuk memotong sebelum kembali ke lorong kiri bagi memastikan aliran trafik lebih lancar dan selamat.