Pelakon British, Tim Curry, meninggal dunia akibat penyakit arteri koronari, menurut jurucakapnya kepada BBC.
Tim Curry meninggal dunia akibat penyakit arteri koronari
Bintang The Rocky Horror Picture Show itu meninggal dunia di kediamannya di Los Angeles pada 25 Ogos lalu pada usia 80 tahun.
Selain penyakit jantung, Curry turut mempunyai sejarah strok dan kanser buah pinggang, yang dikenal pasti sebagai antara faktor penting menyumbang kepada kematiannya, menurut jurucakap berkenaan yang memetik sijil kematian yang difailkan di Los Angeles County.
Pemergian pelakon itu menerima penghormatan daripada rakan-rakan dalam industri hiburan, termasuk bintang pentas dan layar yang mengenang sumbangannya sepanjang lebih lima dekad dalam dunia lakonan.
Curry melonjak terkenal menerusi watak Dr Frank-N-Furter yang mengenakan pakaian dalam dalam filem kultus The Rocky Horror Picture Show pada 1975.
Pada 2012, beliau mengalami strok yang hampir meragut nyawanya dan selepas itu menggunakan kerusi roda.
Curry kemudiannya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada bidang lakonan suara, malah pernah melahirkan rasa syukur kerana strok berkenaan menyebabkan kelumpuhan tetapi tidak menjejaskan keupayaannya untuk bercakap.
Beliau terus menghadiri konvensyen filem dan tahun lalu menerbitkan memoir bertajuk Vagabond, yang menceritakan pengalaman berdepan strok serta tempoh pemulihannya yang panjang.
“Saya sedar selepas kejadian itu betapa luar biasanya saya masih hidup,” katanya seperti dipetik People.
Dalam penghormatan yang dikongsikan minggu lalu, rakan lakonnya dalam filem komedi misteri Clue pada 1985, Michael McKean, menyifatkan Curry ketika itu berada dalam keadaan fizikal yang amat lemah.
Rakan seperjuangannya dalam The Rocky Horror Picture Show, Susan Sarandon, turut mengenang Curry sebagai seorang yang “lucu, seksi dan tersendiri”, selain memuji sikapnya yang sentiasa baik hati dan pemurah terhadap peminat walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda.
Dilahirkan di Warrington, barat laut England, pada 1946, Curry memperoleh pekerjaan lakonan pertamanya selepas menamatkan pengajian apabila membintangi produksi London bagi muzikal rock Hair pada 1968.
Rakan lakonnya ketika itu, Richard O'Brien, kemudian mempelawa beliau menjalani uji bakat untuk muzikal baharunya, The Rocky Horror Show, yang pertama kali dipentaskan pada 1973.
Peranan Dr Frank-N-Furter dalam produksi ikonik itu menjadi antara watak paling dikenali Curry, termasuk menerusi dialog terkenalnya, “don't dream it, be it”.
Sepanjang kerjayanya, Curry turut membintangi pelbagai produksi filem, televisyen dan pentas, termasuk watak Pennywise si badut sadistik dalam versi televisyen It karya Stephen King pada 1990.
Beliau juga memainkan watak King Arthur dalam produksi pentas Spamalot, Rooster dalam filem muzikal Annie pada 1982, selain tampil dalam Home Alone 2, The Hunt for Red October dan Scary Movie 2.

