Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bola "Hand Of God" Maradona Dijual AS$3.35 Juta Dalam Lelongan

Bola "Hand Of God"
Kredit: AFP & AP News

Bola yang digunakan legenda bola sepak Argentina Diego Maradona ketika menjaringkan gol kontroversi “Hand of God” serta gol solo ikonik menentang England pada Piala Dunia FIFA 1986 dijual pada harga AS$3.35 juta (RM13.54 juta) dalam satu lelongan, menurut Heritage Auctions.

Bola “Hand Of God” Maradona Dijual AS$3.35 Juta

Memetik laporan Anadolu, bola Adidas Azteca itu digunakan dalam aksi suku akhir yang menyaksikan Argentina menewaskan England 2-1, dengan Maradona menjaringkan dua gol yang dianggap antara gol paling dikenang dalam sejarah Piala Dunia.

Rumah lelong yang berpangkalan di Dallas itu menjual bola berkenaan pada Sabtu selepas pakar mengesahkan ia sepadan dengan gambar yang dirakam ketika perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, harga jualan itu jauh lebih rendah daripada anggaran awal sekurang-kurangnya AS$10 juta.

Sebelum lelongan, Heritage menyifatkan bola berkenaan sebagai antara bola paling terkenal dalam sejarah sukan dan berpotensi menjadi barangan bola sepak paling bernilai pernah dilelong.

Gol pertama Maradona ketika menentang England dikenali sebagai “Hand of God” selepas beliau menggunakan tangan kiri untuk menolak bola melepasi penjaga gol Peter Shilton, sebelum jaringan itu disahkan pengadil.

Empat minit kemudian, kapten Argentina itu menerima bola di kawasan sendiri sebelum melakukan larian solo, melepasi lima pemain England dan menjaringkan gol yang kemudiannya dipilih sebagai ”Goal of the Century” oleh FIFA.

Bola berkenaan disimpan selama 36 tahun oleh pengadil dari Tunisia, Ali Bin Nasser, yang mengadili perlawanan tersebut.

Ia pernah dilelong di London pada 2022 dengan harga £2 juta (AS$2.37 juta).

Pada tahun sama, jersi yang dipakai Maradona dalam perlawanan berkenaan turut dijual pada harga hampir AS$9.3 juta dalam lelongan anjuran Sotheby’s.

Jualan terbaru itu juga gagal memecahkan rekod harga tertinggi bagi bola daripada mana-mana sukan.

Bola besbol yang digunakan Shohei Ohtani ketika melakukan larian home run ke-50 dalam musim bersejarahnya pada 2024 dijual pada harga AS$4.392 juta, termasuk premium pembeli.

Sementara itu, rekod keseluruhan barangan memorabilia sukan termahal masih dipegang jersi New York Yankees yang pernah dipakai Babe Ruth ketika perlawanan ketiga Siri Dunia 1932.

Jersi itu dijual oleh Heritage pada harga AS$24.12 juta, termasuk premium pembeli, pada 2024.

Intipati
  • Bola “Hand of God” Maradona dijual AS$3.35 juta menerusi lelongan Heritage Auctions.
  • Bola itu digunakan ketika Argentina menewaskan England 2-1 pada suku akhir 1986.
  • Harga jualan tersebut jauh lebih rendah daripada anggaran awal sekurang-kurangnya AS$10 juta.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan