JOHOR BAHRU, 16 Nov- Pasukan bomba berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap kira-kira 10 minit di dalam kereta Proton Saga bapanya dalam insiden di Gelang Patah dekat sini petang tadi.
Difahamkan mangsa, 2 tahun, sedang tidur di dalam kereta yang dimatikan enjin itu ketika bapanya keluar seketika untuk ke kedai runcit manakala kunci kenderaan terbabit diletakkan di atas kerusi pemandu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri Pegawai Bomba Kanan II Mohd Azlan Ramli berkata tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.41 petang.
Beliau berkata mangsa mungkin berasa panas sebelum terjaga dan menangis akibat terkunci dari dalam kenderaan itu.
Katanya pihak bomba mengambil masa tujuh minit untuk mengumpil pintu kereta menggunakan peralatan khas.
“Kanak-kanak tersebut kemudian diserahkan kepada bapanya dalam keadaan selamat dan operasi terbabit tamat pada 5.57 petang,” katanya.
Sumber- BERNAMA