Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Boon Siew Honda Perkasa Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Di Karnival Kampung Angkat Madani

BOON

Boon Siew Honda Perkasa Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Di Karnival Kampung Angkat Madani

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) menerusi platform Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) utamanya, Ride to Reach (R2R), telah menyertai Karnival Kampung Angkat MADANI hari ini dengan membawa pelbagai inisiatif keselamatan jalan raya terus kepada komuniti setempat.

Program tersebut merangkumi sesi pendidikan keselamatan jalan raya, pengagihan kelengkapan keselamatan serta pemeriksaan motosikal percuma bagi meningkatkan kesedaran dan amalan tunggangan yang lebih selamat dalam kalangan pengguna jalan raya.

Sebagai antara pengisian utama program, pasukan Honda Certified Safety Riding telah mengendalikan sesi ceramah keselamatan jalan raya yang memberi penekanan kepada amalan tunggangan berhemah, posisi menunggang yang betul, kepentingan pemakaian kelengkapan keselamatan yang sesuai serta kesedaran asas keselamatan di jalan raya. Sesi tersebut berjaya menarik penyertaan kira-kira 1,000 penduduk setempat.

Selepas sesi ceramah, BSH turut mengagihkan topi keledar kepada 100 peserta serta menawarkan pemeriksaan keselamatan motosikal menerusi 10 titik pemeriksaan utama kepada pelbagai jenama motosikal. Inisiatif ini bertujuan memastikan motosikal berada dalam keadaan optimum di samping mendidik penunggang mengenai kepentingan penyelenggaraan berkala sebagai langkah pencegahan.

Usaha di peringkat komuniti ini selaras dengan visi keselamatan global Honda untuk mencapai sifar kematian akibat kemalangan jalan raya yang melibatkan motosikal dan kenderaan Honda di seluruh dunia menjelang tahun 2050. Berpandukan falsafah “Safety for Everyone”, syarikat terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif praktikal bagi mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat untuk semua.

Menurut Ketua Pegawai Pentadbiran Boon Siew Honda merangkap Pengerusi Program CSR Ride to Reach, Rosidan Haron, keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama yang melangkaui penghasilan kenderaan semata-mata.

“Melalui platform seperti Karnival Kampung Angkat MADANI, kami berpeluang mendekati komuniti secara langsung untuk memupuk budaya tunggangan selamat, menggalakkan penggunaan kelengkapan keselamatan yang sesuai serta menyokong aspek penyelenggaraan motosikal yang penting. Usaha akar umbi seperti ini memainkan peranan besar dalam merealisasikan aspirasi jangka panjang kami untuk mewujudkan jalan raya yang lebih selamat untuk semua,” katanya.

Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang bertujuan merapatkan jurang pembangunan wilayah serta meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta. Pendekatan ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam memperkukuh pembangunan komuniti serta memperluaskan akses kepada perkhidmatan penting dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

Program ini turut menandakan inisiatif keselamatan komuniti ketiga yang dilaksanakan oleh Boon Siew Honda, yang setakat ini telah memberi manfaat secara langsung kepada lebih 350 individu menerusi pengagihan kelengkapan keselamatan dan sokongan penyelenggaraan motosikal.

Pada masa hadapan, BSH akan terus memperluaskan program Ride to Reach dengan kerjasama agensi kerajaan serta rakan industri bagi membawa lebih banyak program keselamatan yang memberi impak positif kepada komuniti di seluruh Malaysia.